Anda di sini

Tragedi di Lubuk Sepali

Advertisement
 Pasukan SAR meneruskan usaha mencari dua lagi mangsa yang hilang di Nanga Ensiring, Julau.
TERUS MENCARI: Pasukan SAR meneruskan usaha mencari dua lagi mangsa yang hilang di Nanga Ensiring, Julau.

JULAU: Seorang maut, seorang selamat manakala dua masih hilang selepas bot panjang dinaiki mereka karam di Nanga Ensiring di sini, petang kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Rumah Bedali.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, hanya seorang lelaki yang juga pemandu bot terselamat dalam kejadian tersebut.

“Berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, bot mereka karam di kawasan dikenali sebagai Lubuk Sepali yang terletak kira-kira 50 meter dari jeti rumah panjang.

“Pada jam 12.30 tengah hari tadi (semalam), mayat seorang mangsa dikenali sebagai Lenny Ingang, wanita berusia 54 tahun ditemui di kawasan tebing sungai berhampiran dengan Rumah Gani, Wong Bar, Julau.

“Manakala, Eviline Linty Kaya, 23, bersama anak lelakinya, Kelvin Sama Markus, 6, masih belum ditemui setakat jam 5 petang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama semalam turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Julau (KPD) DSP Bidol Noyeng yang dihubungi mengesahkan pihak polis ada menerima laporan berkaitan insiden tersebut.

“Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau oleh mangsa bot karam yang bernama Markus Kaya, 25, yang juga pemandu bot ketika kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa dari jeti Entabai Julau hendak balik ke rumah panjang mereka di Nanga Ensiring.

“Mayat mangsa pertama yang dijumpai tengah hari tadi (semalam) telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses selanjutnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement