Anda di sini

‘Shoplifters’ dari Jepun menang hadiah utama di Festival Filem Cannes

Advertisement
__alt__
HIROKAZU KORE-EDA
HIROKAZU KORE-EDA

FILEM ‘Shoplifters’, sebuah kisah keluarga yang menyayat hati oleh pengarah veteran dari Jepun, Hirokazu Kore-eda, memenangi hadiah utama Palme d’Or di festival filem Cannes pada minggu lepas, di satu majlis yang diwarnai ucapan emosional oleh seorang penuduh Harvey Weinstein.

Spike Lee menerima Grand Prix tempat kedua untuk ‘BlacKkKlansman’, satu kritikan pedas mengenai rasisme dengan kisah benar yang lebih pelik berbanding fiksyen mengenai seorang anggota polis berbangsa Afrika-Amerika yang berjaya menyelinap ke peringkat tertinggi kumpulan Ku Klux Klan.

Presiden juri Cate Blanchett berkata filem itu, yang jelas mengaitkan kisah pada tahun 1970an itu dengan nasionalisme orang putih dalam era Trump, “meniup kami keluar dari pawagam”.

Namun saat paling mengejutkan pada malam itu tiba apabila bintang Itali, Asia Argento, yang pernah menyatakan dia dirogol oleh Weinstein di Cannes pada 1997, mengambil mikrofon dan berikrar untuk berjuang demi keadilan bagi mangsa lain.

“Festival ini adalah kawasan pemburuannya,” kata Argento, yang memberitahu dia berusia 21 tahun ketika Weinstein menyerangnya di dalam bilik hotel Weinstein.

“Malah pada malam ini, ada orang yang duduk di kalangan anda yang masih perlu dipertanggungjawabkan bagi kelakuan mereka terhadap wanita. Kami tahu siapa anda dan kami tidak akan lagi membiarkan anda terlepas,” katanya yang disambut oleh sorakan daripada hadirin.

Beberapa minit sebelum aktres itu naik ke pentas, polis di Paris berkata mereka sudah membuka siasatan jenayah terhadap salah seorang pengarah paling terkenal di Perancis, pembuat filem ‘The Fifth Element’, Luc Besson, kerana didakwa merogol seorang aktres.

Aktres-pengarah dari Lubnan, Nadine Labaki, seorang daripada tiga pembuat filem wanita di kalangan 21 orang calon, memenangi tempat ketiga Hadiah Juri untuk ‘Capernaum’ yang dibuat di kalangan masyarakat paling miskin sekali di Beirut dan memaparkan lakonan yang hebat sekali oleh seorang budak lelaki pelarian berusia 13 tahun dari Syria.

Samal Yeslyamova dari Kazakhstan memenangi anugerah aktres terbaik untuk ‘Ayka’ oleh pengarah Sergey Dvortsevoy bagi lakonannya yang menyentuh hati sebagai seorang pendatang muda yang menganggur dari Asia Tengah pasca Soviet dan meninggalkan bayinya di Moscow.

Pemenang anugerah Oscar dari Poland, Pawel Pawlikowski, memenangi hadiah untuk pengarah terbaik bagi ‘Cold War’, kisah cinta yang tragis berlatarbelakangkan Tabir Besi.

Pawlikowski, yang memenangi anugerah Oscar bagi filem bahasa asing untuk ‘Ida’ pada 2015, mencetuskan skandal di tanahairnya apabila dia memberitahu AFP di festival itu bahawa filem itu telah “disenaraihitamkan” oleh kerajaan nasionalis. Warsaw menafikan dakwaan itu.

Dia berkata anugerahnya adalah “satu berita baik yang jarang” untuk negaranya.

Marcello Fonte dari Itali – yang bekerja sebagai seorang penjaga ketika bakatnya dikesan – merupakan pemenang ala kisah pari-pari pada malam itu.

Dia memenangi anugerah pelakon terbaik untuk lakonannya yang amat disukai sebagai seorang pengasuh haiwan peliharaan yang bersuara lembut dan menentang orang besar dalam filem arahan Matteo Garrone ‘Dogman’.

‘Three Faces’ arahan Jafar Pahahi dari Iran, yang dilarang oleh Tehran daripada menghadiri festival itu, berkongsi hadiah lakon layar terbaik bersama filem ‘Happy as Lazzaro’ daripada pengarah Itali, Alice Rohrwacher.

Drama balerina transjantina dari Belgium ‘Girl’ memenangi hadiah Camera d’Or untuk filem pertama terbaik.

Ia sebelum itu memenangi hadiah Queer Palm bagi filem bertemakan LGBT dan anugerah pelakon terbaik untuk Victor Polster dalam seksyen sampingan Un Certain Regard.

Legenda Perancis-Switzerland, Jean-Luc Godard, turut menerima hadiah khas untuk ‘The Image Book’, satu meditasi berani yang kadang-kadang membingungkan mengenai persoalan besar pada zaman kita – peperangan, migrasi dan kelangsungan planet kita.

‘Shoplifters’ merupakan filem pilihan awal di festival Cannes ke-71.

Ia menggambarkan sepasang suami isteri yang menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang didera dan terabai, dan memberikan kasih sayang yang pertama kali dialami kanak-kanak tersebut walaupun mereka mengajar budak-budak itu untuk mencuri.

Laman sesawang filem di Amerika Syarikat, IndieWire, memujinya sebagai “ajaib” manakala The Guardian menyifatkannya sebagai “sebuah filem yang kaya dan memuaskan”.

Spike Lee menganggap filemnya sendiri, yang dipuji oleh ramai pengkritik kerana kembali kepada bentuk bagi pengarah ‘Do the Right Thing’ itu, sebagai “seruan untuk bangun” menentang ekstremisme di seluruh dunia.

“Kita hidup dalam masa yang sangat, sangat menakutkan,” katanya kepada pemberita.

“Banyak perubahan sedang berlaku tetapi banyak perkara perlu berlaku, dan dengan pentadbiran (Trump) sekarang, mereka sedang membuat banyak benda untuk berundur ke belakang yang saya rasa adalah berbahaya.”

Selain pemenang ha-diah, festival pada tahun ini akan diingati kerana peristiwa di luar skrin.

Bintang Hollywood termasuk Blanchett, Kristen Stewart, Helen Mirren dan Salma Hayek, serta dua pengarah, Ava DuVernay dan Patty Jenkins, menyertai protes permaidani merah untuk menuntut peluang sama rata bagi wanita dan “tempat kerja yang selamat”.

Dua hari kemudian, penganjur festival menandatangani ikrar untuk menggalakkan kepelbagaian yang lebih luas dalam pemilihannya menjelang 2020.

Walaupun ia adalah salah satu tiket yang paling dicari-cari, tayangan perdana filem arahan budak nakal dari Denmark, Lars von Trier, ‘The House That Jack Built’, menyaksikan penonton keluar panggung secara beramai-ramai dari apa yang mereka panggil pesta keganasan yang membenci perempuan.

Kedua-dua bintang wanitanya, Uma Thurman dan Riley Keough, menarik perhatian kerana tidak ada di permaidani merah, di mana Stewart pada malam lain mengadakan protes tersendiri dengan membuka kasutnya yang bertumit tinggi dan menaiki tangga Cannes yang megah dengan berkaki ayam.

Pada 2017, hadiah utama dimenangi filem arahan Ruben Ostlund ‘The Square’, sebuah sajian dunia kesenian yang seterusnya menerima pencalonan bagi anugerah Oscar. — AFP

  • oleh
  • Advertisement