Anda di sini

Relevan, tepati kehendak rakyat Sabah

Advertisement

Kewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’
 

PERTAMA kali dalam sejarah pembentukan Jemaah Kabinet Negeri Sabah, kerajaan pemerintah iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), pada 16 Mei 2018 lalu telah mewujudkan empat (4) kementerian baharu di Sabah.

Empat kementerian terbabit ialah Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta  Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah kini diterajui menterinya, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr Yusuf Yaacob (ADUN Sindumin) dan dua Pembantu Menteri iaitu YB Mohamad Mohamarin (ADUN Banggi) dan YB Jennifer Lasimbang (ADUN Moyog) dan ketiga-tiganya dari Parti Warisan Sabah, pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Wartawan Utusan Borneo, SALMAN ABADI (SA) mendapatkan pandangan Yang DiPertua (YDP) Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Sabah, Haji Yusoff Minin (YM), 57, yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Surati Papar tentang harapan tinggi warga pendidik khasnya kepimpinan guru besar di Sabah dengan kewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah.

YUSOFF MININ.
YUSOFF MININ.

SA: Apakah pandangan, komen atau ulasan tuan dengan penubuhan empat kementerian
baharu dalam susunan Jemaah Kabinet Negeri Sabah di bawah teraju pemerintahan
Parti Warisan Sabah, khasnya pewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi?
 
YM: Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan baharu negeri Sabah yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, selaku Ketua Menteri Sabah.

Melihat kepada empat kementerian baharu dalam susunan Jemaah Kabinet Negeri Sabah di bawah teraju pemerintahan Parti Warisan Sabah, ianya amat bertepatan dan memenuhi kehendak rakyat negeri Sabah khususnya dalam tuntutan hak autonomi itu sendiri.

Kedua, selaku Yang DiPertua Majlis Guru Besar Negeri Sabah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB kerana telah melihat bahawa pendidikan itu sangat penting khususnya di negeri Sabah yang masih jauh ketinggalan dalam serba serbi khususnya prasarana atau pembangunan pendidikan.

Maka tindakan YAB Ketua Menteri untuk mewujudkan Kementeria Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah adalah sangat releven dan ianya menepati kehendak rakyat negeri Sabah dan ini juga adalah selaras dengan resolusi melalui Konvensyen dan Persidangan Majlis Guru Besar Negeri Sabah.

SA: Pada pendapat tuan, apakah isu-isu atau perkara utama yang seharusnya diberi perhatian dan tindakan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah, memandangkan urusan pendidikan di Sabah sebelum ini, berada di bawah kerajaan Persekutuan/Pusat?    
 
YM: Banyak keutamaan yang harus diberikan tumpuan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, khususnya dalam menangani isu-isu pokok yang selalu menjadi perdebatan dalam siri-siri perbincangan dan mesyuarat.

Antaranya ialah di negeri Sabah masih terdapat lebih kurang 70 peratus (%) bangunan sekolah yang dibina daripada kayu yang berkeadaan daif dan uzur. Demikian juga rumah guru. Perhubungan atau jalan raya ke sekolah juga khususnya di kawasan pedalaman perlu diambil perhatian yang serius bagi menangani kesukaran pergerakan keluar masuk guru dan kakitangan yang bertugas di sekolah-sekolah berkenaan.

Dengan kewujudan kementerian ini, diharapkan ianya dapat mengurangkan karenah birokrasi pengurusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri khususnya dalam projek pembangunan sekolah. Berilah kuasa autonomi kepada pemimpin negeri Sabah untuk menguruskan peruntukan yang disalurkan bagi mengelakkan ketirisan.   

SA: Apakah harapan tuan dengan wujudnya sebuah Kementerian baharu di Sabah, iaitu Kementerian Pelajaran dan Inovasi dalam konteks pembangunan prasarana pendidikan (sekolah daif) dan usaha meningkatkan lagi prestasi pendidikan di negeri Sabah, termasuklah ke arah pembangunan modal insan dan kemenjadian murid?
 
YM: Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Datuk Dr Yusuf Yaacob atas perlantikannya sebagai Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah dan sudah tentu rakyat Sabah keseluruhannya mengalu-alukan kewujudan Kementerian ini. Ianya sangat signifikan kepada harapan rakyat Sabah itu sendiri yang mahu melihat negeri Sabah boleh melaksanakan agenda memperkasakan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dengan wujudnya kementerian ini di Sabah, ia ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’, ianya sudah tentu memberi impak yang besar dalam konteks pembangunan prasarana pendidikan ke arah menangani isu bangunan sekolah yang berada pada tahap daif dan uzur.  

Saya yakin YAB Ketua Menteri Sabah telah mengambil kira semua faktor dalam konteks negeri Sabah sehingga Kementerian Pelajaran dan Inovasi ini diwujudkan. Semoga dengan kewujudan kementerian ini juga ianya akan memberi impak besar dalam meningkatkan lagi prestasi pendidikan di negeri Sabah termasuklah ke arah pembangunan modal insan dan kemenjadian murid.

Dalam konteks inovasi, kita berharap kementerian ini dapat melihat keperluan pembangunan ICT atau Teknologi Komunikasi dan Maklumat yang sedang diupayakan di semua sekolah di Sabah dalam membantu kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, di mana sistem rangkaian (LAN) dan jalur lebar tidak meluas di semua sekolah dan tidak menepati piawaian, menyukarkan capaian kepada internet.

SA: Kerajaan terdahulu telah meluluskan peruntukan RM1 bilion dalam Pembentangan Bajet 2018 untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah. Sebagai barisan utama kepimpinan MGB Negeri Sabah yang sentiasa memperjuangkan pendidikan di Sabah, apakah harapan atau permintaan tuan terharap bajet yang telah diumumkan itu?
 
YM: Walaupun kerajaan telah bertukar, daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita berharap agar mana-mana perancangan yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat hendaklah diteruskan. Demikian juga peruntukan RM1 bilion yang telah diumumkan oleh kerajaan terdahulu dalam Pembentangan Bajet 2018, iaitu peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah. Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 117 buah sekolah di Sabah terlibat dalam projek penyelenggaraan dan naik taraf atau membina bangunan baharu menerusi kaedah sistem binaan berindustri (IBS).   

Kita mengharapkan agar Menteri Pelajaran Malaysia dalam kerajaan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik akan meneruskan usaha dan komitmen untuk membantu Sabah (dan Sarawak) berhubung perkara tersebut kerana ia (bajet RM1 bilion) amat diperlukan di Sabah.

SA: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah mempunyai seorang Menteri dan dua orang
Pembantu Menteri (3 orang kesemuanya). Kebetulan ketiga-tiga mereka berada seorang di Utara Sabah (Banggi/Kudat), seorang di Pantai Barat (Moyog) dan menterinya berada di Selatan Sabah (Sindumin). Pada pandangan atau cadangan tuan, bagaimanakah ketiga-tiga YB ini menyelaras dan memfokuskan bidang tugas (Contoh: Pendidikan Rendah, Menengah dan Tinggi) atau mengikut kawasan (DUN atau daerah) untuk mempastikan kewujudan kementerian ini benar-benar boleh memacu kemajuan pendidikan rakyat, khasnya di negeri Sabah?     

YM: Syabas dan tahniah juga kepada YB Mohamad Mohamarni (Adun Banggi) atas pelantikannya sebagai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah. Beliau sebelum ini adalah seorang pendidik. Demikian juga ucapan tahniah saya bagi pihak MGB Sabah kepada YB Jennifer Lasimbang (Adun Moyog), juga sebagai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah.  

Seorang datangnya dari Utara Sabah, seorang dari Pantai Barat Sabah dan seorang pula dari Selatan Sabah. Jika dilihat dari sudut taburan keperluan, rasanya tiada sebarang masalah, malah ia amat menepati lokaliti berdasarkan geografi negeri Sabah dan masing-masing memudahkan mereka berada di lapangan dengan mendapatkan maklumat dengan mudah dan lebih tepat.

MENTERI Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yaacob (duduk) ketika   menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di pejabatnya baru-baru ini.
MENTERI Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yaacob (duduk) ketika menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di pejabatnya baru-baru ini.

Keberadaan ketiga-tiga YB ini dalam menggalas tanggungjawab di Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, sudah tentu mereka memfokuskan agenda pembangunan pendidikan itu sendiri, namun perlu ada penyelarasan pengagihan ‘tanggungjawab’ agar tidak ada pertindihan tugas di bawah tanggungjawab masing-masing. Saya yakin YB.Datuk Dr Yusof Yacub punya pengalaman luas dalam menguruskannya kerana beliau bukan baharu dalam bidang pengurusan dan politik.

SA: Ada apa-apa maklumat atau info tambahan yang tuan hendak kemukakan atau  utarakan?.
 
YM: Sebagai seorang pendidik dan YDP MGB Negeri Sabah, sangat besar harapan kami warga pendidik agar kerajaan baharu negeri Sabah ini dapat mewujudkan Tabung/Dana Pendidikan yang mana peruntukan daripada sumber dana ini dapat disalurkan di semua sekolah menengah dan rendah seluruh negeri Sabah mengikut tatacara dan peraturan kewangan bagi membantu menangani atau mengatasi keperluan kewangan di peringkat sekolah, khususnya dalam membantu peningkatan prestasi pelajar dan kemajuan sekolah keseluruhannya.

Selain itu, daripada 1,074 sekolah rendah di Sabah, lebih 10 peratus daripadanya terletak di kawasan pulau, hulu sungai dan sebagainya. Sudah tentu mod perhubungan utama guru-guru dan warga sekolah adalah menggunakan perahu atau bot, khasnya di daerah Kudat, Banggi, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan sebagainya.

Dalam hubungan ini, kerajaan juga perlu melihat terhadap keperluan menyediakan bantuan bot di sekolah-sekolah berkaitan demi kemudahan dan keselamatan warga sekolah yang sentiasa berhadapan dengan ancaman dan risiko keselamatan di laut, di samping keperluan tambahan atau gantian bilik darjah dan juga kemudahan asrama desa yang masih amat diperlukan, khususnya di kawasan pedalaman di negeri Sabah.

Untuk rekod, berdasarkan data 31 Januari 2018, terdapat 1,294 sekolah di Sabah termasuk 220 sekolah menengah, 42,531 orang guru (rendah dan menengah) dan sejumlah 506,868 murid dengan pecahan 201,873 pelajar sekolah menengah, 276,491 murid di sekolah rendah dan 28,504 murid prasekolah.  

  • oleh
  • Advertisement