Anda di sini

Empat sahabat mengaku bersalah judi tempat awam

Advertisement
__alt__

MIRI: Empat sahabat masing-masing didenda RM2,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan bermain judi haram di tempat awam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan semua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Rezza Lambai, 28, dan Jusman Beriak, 26, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya, Putera Nasazzali Nasib Tukong, 39, dari Sungai Plan, Bintulu dan Jemain Suud, 37, dari RPR Palma 4 di sini didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1963.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, keempat-empat tertuduh didapati bermain judi haram jenis ‘Ho Hey How’.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.10 malam di sebuah kedai kopi di Jalan South Yu Seng di sini.

Semasa tangkapan, polis turut merampas peralatan perjudian dan wang tunai RM230 untuk dijadikan barang kes.

Di hadapan mahkamah, semua tertuduh merayu supaya hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili.

Advertisement