Anda di sini

Bekas setiausaha Jamal Yunos bersalah anjur perhimpunan haram

Advertisement

PETALING JAYA: Bekas setiausaha kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Mohamed Durrany Izam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram ‘Gerakan Merah’ di pejabat portal Malaysiakini, dua tahun lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Durrany, 36, yang merupakan bekas setiausaha kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya denda gagal dibayar. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai penganjur Program Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya 10 hari sebelum perhimpunan terbabit diadakan.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat portal Malaysiakini, Jalan Tandang 51/205A, di sini, pada 2 petang, 5 Nov 2016 mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dihukum mengikut Seksyen 9 (5) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.

“Ketika kejadian, 1,000 orang menyertai perhimpunan haram itu...tindakan tertuduh menimbulkan pelbagai kesusahan kepada rakyat termasuklah kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat.

“Kes ini juga telah dibicarakan sepenuhnya dengan  lima saksi pendakwaan telah dipanggil, oleh itu saya pohon satu hukuman denda maksimum,” katanya.

Mohamed Durrany yang diwakili peguam Izzat Zabir Sariff memohon hukuman ringan bersesuaian dengan keadaan anak guamnya yang ketika ini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan majikannya.

Pada 5 Nov 2016, media melaporkan kira-kira 1,100 orang hadir di hadapan pejabat portal Malaysiakini dengan memakai baju merah dan mengadakan demonstrasi jalanan bagi menggesa portal berita itu ditutup berikutan dakwaan penerimaan dana daripada Open Society Foundation (OSF) iaitu sebuah organisasi pemberi geran yang dikendalikan seorang lelaki berketurunan Yahudi, George Soros. — Bernama

Advertisement