Anda di sini

Penganggur nafi miliki parang, ugutan jenayah

Advertisement

MIRI: Seorang penganggur diperintahkan Mahkamah Sesyen supaya dibebas dengan jaminan tunai RM8,000 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan memiliki sebilah parang dan melakukan ugutan jenayah.

Mohd Apis Kamaruddin, 22, dari Kampung Madinah, Suai didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958 (Pindaan 2014).

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa memiliki sebilah parang sepanjang 69 sentimeter yang disimpan di tepi tempat duduk pemandu kenderaan tanpa kebenaran yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.50 malam, 17 Mei lalu di tepi jalan kawasan Manong Ulat, Niah.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki bernama Rosli Kamaruddin dengan cara hendak melanggarnya serta mengambil sebilah parang di rumah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 5 petang, 17 Mei lalu di Bazar Ramadan, Simpang Ngu, Niah.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Hakim Stever Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 14 Jun depan untuk pengurusan kes dan perbicaraan pula ditetapkan pada 29 hingga 31 Oktober tahun ini.

Sehubungan itu, tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan tunai RM8,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement