Anda di sini

Organisasi media perlu utamakan suara rakyat

Advertisement
SHAFIE (baris depan, dua kiri) bersama tetamu kehormat dan penaja Program Jelajah Ramadan RTM merakam gambar kenangan bersama.
SHAFIE (baris depan, dua kiri) bersama tetamu kehormat dan penaja Program Jelajah Ramadan RTM merakam gambar kenangan bersama.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berpendapat, sudah tiba masanya organisasi media di negeri ini khususnya media rasmi kerajaan bertindak sebagai saluran yang lebih mengutamakan suara rakyat.

Katanya, usaha itu penting seiring dengan peredaran zaman agar organisasi media bukan lagi hanya memfokuskan kepada suara pemerintah, tetapi lebih kepada suara nadi rakyat.

"Walaupun ianya dirasai, didengari tidak manis dan pahit, tapi itu lontaran suara rakyat yang perlu didengar oleh semua lapisan masyarakat tidak kira pemerintah, bahkan juga pentadbir yang ada di negara ini.

"Usaha ini lebih terbuka, namun ia perlu diterima dan kita tidak boleh hanya menyampaikan agenda atau ideologi politik, tapi perlu lebih fokus kepada suara rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Ramadan RTM 2018, di sini pada Jumaat.

Dalam ucapannya juga, Shafie berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah salah satu saluran media kerajaan yang berperanan penting dalam membentuk mentaliti dan moral rakyat.

Justeru, beliau meminta jabatan penyiaran itu untuk terus teguh menjadi organisasi media kerajaan yang bukan hanya menyampaikan berita, tetapi turut menjadi medium lontaran kehendak serta suara rakyat di peringkat akar umbi.

"Kita berhadapan dengan media sosial yang amat mencabar pada saat ini kerana aksesnya yang tidak terbatas.

"Setiap individu mempunyai akses kepada media sosial (platform) seperti Facebook, Whatsapp, Youtube untuk mendapat maklumat...Sama ada sedar atau tidak sedar, ia akan dapat membentuk pemikiran masyarakat lagi - lagi di peringkat akar umbi, "katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Aziz Jamman dan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi.

  • oleh
  • Advertisement