Anda di sini

Merasuah anggota polis, dua lelaki kena 30 hari, denda

Advertisement
__alt__

SIBU: Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam menjatuhkan hukuman 30 hari penjara ke atas dua lelaki yang didapati bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota polis.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong yang mendengar kes, turut menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara terhadap kedua-dua tertuduh, yang perlu dijelaskan serta-merta.

Tertuduh, Ho Sing Chiong, 42, dan Wong Wui Ming, 41, didakwa bersama memberi suapan sebanyak RM500 kepada anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) di pondok polis Pasar Taman Rejang pada 6 Mei, 2017, kira-kira jam 3.50 petang.

Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota polis terbabit agar tidak mengambil tindakan terhadap Wong yang disyaki dalam pengaruh dadah.

 Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta ringkas kes, pada 6 Mei, 2017 lebih kurang jam 3.50 petang, tiga anggota polis URB yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Jalan Ipoh telah menahan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran negara Brunei.

Kereta tersebut yang dipandu Wong, didapati mempunyai cukai jalan kenderaan yang telah tamat tempoh, selain gagal menunjukkan dokumen sah kenderaan tersebut.

Ketika ditahan, Wong yang bekerja sebagai penarik kereta juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan disyaki dalam pengaruh dadah.

Tidak lama kemudian, Ho tiba dan menawarkan wang rasuah RM500 kepada anggota polis terbabit supaya tidak mengambil tindakan ke atas Wong.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Louis Jarrau, merayu dikenakan hukuman yang ringan, selain memberitahu telah berkeluarga serta mempunyai anak yang masih bersekolah.

Kedua-dua tertuduh juga memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan hukuman penjara 30 hari itu sementara membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sementara menunggu rayuan itu, kedua-dua mereka dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin tempatan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Ikhwan Mohd. Ibrahim.

Advertisement