Anda di sini

KPP sasar 35 peratus sumbangan sektor pembuatan kepada GDP

Advertisement
TANGAU menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak sekolah Tahfiz.
TANGAU menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak sekolah Tahfiz

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (KPP) akan mempertingkatkan lagi aktiviti perindustrian dengan mempertingkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada GDP untuk negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pada masa ini sektor pembuatan hanya memberi sumbangan sebanyak tujuh peratus kepada ekonomi negeri ini.

"Kita mahu berusaha mencapai ke tahap sehingga 35 peratus sumbangan sektor pembuatan kepada GDP," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan Sedco 1439H/2018, bertempat di Hyatt Regency Kinabalu, di sini pada Khamis.

Katanya, jika dilihat kepada sektor kelapa sawit dengan mengemblingkan kekuatan sumber yang ada dalam masa 20 tahun sasaran untuk mencapai 35 peratus sumbangan sektor pembuatan kepada GDP akan dapat dicapai.

"Selain sektor kelapa sawit, kita juga ada minyak dan gas dan sektor pembuatan yang lain," katanya.

Tangau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, dari segi distinasi pelaburan, perindustrian sudah ada, contohnya di POIC Lahad Datu mempuyai 4,000 hektar dan daripada jumlah itu, 1,000 hektar sudah dibangunkan.

"Begitu juga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan sebagainya," katanya.

Katanya, Pantai Timur mempunyai potensi pelaburan perindustrian yang amat tinggi, khususnya di Lahad Datu yang mempunyai pelabuhan dan logistik yang cukup baik.

"Selain itu, kita perlu pertingkatkan lagi komunikasi dan keperluan untuk memperkenalkan kepada dunia tentang peluang-peluang yang ada di Sabah.

Banyak sumber yang berpotensi di Sabah masih tidak diketahui dunia, antaranya mendirikan kilang contohnya kilang tayar.

"Apabila kita lihat bahan mentah dari segi getah asli sahaja mungkin tidak mencukupi, tetapi selain daripada Petroleum sebagai sumber untuk tujuan ini, sebenarnya CPO juga menjadi antara salah satu bahan mentah.

Jadi banyak potensi di Sabah yang kita boleh lakukan untuk perindustrian. Apa yang kita perlukan ialah untuk memperkukuhkan pasukan dan meletakkan polisi di tempat yang betul," katanya.

Di majlis itu, Sedco turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid dan Surau, Anak-Anak Tahfiz al-Quran Darul Qalam dan Anak-Anak Yatim Madarasah Waqaf Islamic Sabah (MAWIS).

Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan Sarippudin Hatta, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong, Pengerusi Sedco Dato' Seri Nasir Tun Sakaran dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco  Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.

  • oleh
  • Advertisement