
KOTA KINABALU: Pengagihan bubur lambuk secara percuma kepada orang awam pada setiap bulan Ramadan adalah satu usaha murni.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew berkata, usaha itu sudah pasti mampu mewujudkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat di sini yang terdiri daripada pelbagai kaum.
"Usaha yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Maggi adalah satu usaha murni.
"Usaha yang telah dilakukan selama lima tahun berturut-turut ini harus diteruskan di masa hadapan," katanya ketika ditemui dalam Program Bubur Lambuk bersama Maggi dan Lawatan ke Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini pada Jumaat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Mayor DBKK Datuk Yeo Boon Hai serta tetamu kehormat yang lain.
Kali ini sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai di perkarangan DBKK.
Ia juga sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada syarikat Maggi di sini.