
KOTA KINABALU: Satu cadangan sedang dijalankan untuk menyerap pekerja secara kontrak dan separuh masa di Jabatan Air menjadi kakitangan tetap.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, beliau telah mencadangkan agar pekerja mahir diserapkan sebagai kakitangan tetap jabatan itu.
Katanya, ketika ini kaedah yang digunakan adalah untuk mendapatkan pekerja kontrak dan pekerja separuh masa, yang disifatkannya sebagai `tidak selesa' bagi jabatan itu dan juga pekerja terlibat.

"Ia tidak selesa sebab ia tidak menggalakkan komitmen. Pada masa yang sama, mereka (pekerja) juga mempunyai komitmen keluarga yang perlu dipenuhi," katanya.
Beliau berkata, tanpa pekerja tetap, pelaksanaan tugas jabatan itu dan kementeriannya akan terjejas.
Ditanya mengenai isu kontroversi Empangan Koiduan, Peter berkata kapasiti bekalan air di beberapa tempat masih tidak mencukupi.
"Bagaimanapun, oleh kerana ia mendapat bantahan daripada penduduk, kita memerlukan pelan B untuk menangani isu kekurangan air," katanya.