Anda di sini

Rondaan bersama tingkat keselamatan

Advertisement

SANDAKAN: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja Sri Tiga (KD STG) telah melaksanakan pertemuan bersama kapal Tentera Laut Filipina (TLP) BRP CEBU (PS 28) untuk menjayakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) siri 8/18 di sekitar Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) pada Rabu.

Kedua-dua kapal berkenaan sedang membuat rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan di sempadan perairan negara untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).

Pertemuan TMP kali kelapan pada tahun ini telah dilaksanakan seawal jam 9 pagi setelah hubungan komunikasi keduanya berjaya dilakukan.

SESI bergambar kedua-dua kru di KD STG.
SESI bergambar kedua-dua kru di KD STG.

Pertemuan bermula dengan KD STG merapat di sebelah lambung kanan BRP CEBU yang diperintah oleh Lt Kdr Arnold Valida PN.

Ketibaan KD STG disambut baik oleh Pegawai Memerintah, Pegawai Laksana dan kru BRP CEBU. Pertemuan pada kali ini adalah pertemuan ketiga BRP CEBU dengan kapal TLDM manakala yang pertama buat KD STG.

Pegawai Memerintah KD STG Lt Kdr Kamarulzaman Kamaruddin telah menjemput kru kapal BRP CEBU ke kapal untuk melaksanakan lawatan serta berkongsi maklumat operasi demi kebaikan bersama kedua-dua pihak.

Lawatan ke KD STG dimulakan dengan Pegawai Memerintah BRP CEBU menandatangani buku lawatan dan seterusnya perbincangan mengenai isu-isu semasa serta latihan yang bakal dilaksanakan bagi memahirkan krew kapal masing-masing.

Kru KD STG juga berpeluang melawat BRP CEBU dan saling bertukar pendapat mengenai tugas dan tanggungjawab setiap jabatan.

Kru KD STG juga beruntung kerana dapat melihat sendiri kapal yang telah berusia hampir 75 tahun masih mampu untuk beroperasi dengan kebanyakan jentera dan persenjataan asal sejak dibina masih digunakan.

Kru BRP CEBU juga tidak lokek untuk berkongsi tips dan maklumat bagaimana mereka melaksanakan senggaraan agar kesemua jentera dan rupacara kapal masih dapat dikekalkan sehingga kini.

Setelah selesai sesi lawatan dan bertukar maklumat, kapal seterusnya melaksanakan latihan bersama. Antara latihan yang dilaksanakan adalah latihan Publication Exercise (PUBEX), Manuvra Taktis (MANTAK), Replinishment at Sea Approach (RASAP) dan Kibaran Bendera (Semaphore). Kesemua latihan itu berjaya dilaksanakan dan mencapai objektif yang diharapkan.

KD STG merapat di lambung kanan BRP CEBU.
KD STG merapat di lambung kanan BRP CEBU.

Pihak TLDM khasnya Markas Wilayah Laut 2 juga tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan akan terus meningkatkan kesiagaan serta pengawasan di perairan pantai timur Sabah ini terutamanya di bulan Ramadan yang mulia ini.

Selesai pertemuan, kedua-dua kapal berkenaan kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

  • oleh
  • Advertisement