Anda di sini

Rakyat digesa beri masa kabinet baharu buktikan kemampuan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta memberi masa sewajarnya kepada barisan menteri yang baharu dilantik untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata ini disebabkan selain Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para menteri lain tidak mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan persekutuan.

“Sebahagian mereka seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah lebih 20 tahun duduk di kerusi pembangkang dan baharu kini mengalami sendiri pengalaman menguruskan kerajaan.

“Ada yang baharu  pertama kali iaitu penggal pertama dilantik sebagai ahli parlimen terus diberi tanggungjawab yang besar (menjadi menteri) seperti Dr Maszlee Malik (sebagai Menteri Pendidikan) dan Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar), jadi beri masa untuk mereka belajar,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata pendekatan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan setakat ini dilihat positif apabila tidak terburu-buru untuk merombak dan membatalkan program-program kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Mereka mengambil kira dasar-dasar yang baik yang telah dilaksanakan dan ini amat dihargai oleh penjawat awam yang terlibat. Rakyat juga gembira kerana mereka bukan semata-mata nak ubah, yang mana baik memang patut diteruskan dan ditambah baik,” katanya.

Selain itu, hasrat yang di-suarakan menteri tertentu bagi mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan kementerian masing-masing menunjukkan keterujaan mereka untuk membawa perubahan dari segi perundangan, namun tindakan itu menurut Shamrahayu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

Aktivitis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata rakyat perlu bersabar untuk melihat sebarang pembaharuan kerana menteri yang dilantik perlu mendapatkan maklumat berkenaan agensi-agensi di bawah kementerian mereka terlebih dahulu.

Beliau percaya pemilihan mereka telah dipertimbang secara teliti berdasarkan merit dengan mengambil kira keupayaan dan kelayakan mereka.

Mereka juga dilihat telah bersedia dan bersemangat untuk bertugas dan menerajui kementerian masing-masing, katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan idea atau dasar baharu oleh menteri sebenarnya terletak pada penjawat awam.

“Penjawat awam perlulah menjalankan tugas dengan integriti, komitmen dan melaksanakan objektif agensi masing-masing dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Anggota baharu kabinet kerajaan persekutuan yang terdiri daripada 13 menteri telah memulakan tugas di kementerian masing-masing kelmarin.

Antaranya Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Turut melaporkan diri kelmarin Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke. — Bernama

Advertisement