Anda di sini

Pengarah syarikat, ejen penghantar didakwa buat perakuan palsu

Advertisement
 Khoo (dua kiri) dan Tan (dua kanan) dibawa oleh pegawai Kastam ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth semalam atas 42 pertuduhan membuat perakuan palsu kepada kastam tiga tahun lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Khoo (dua kiri) dan Tan (dua kanan) dibawa oleh pegawai Kastam ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth semalam atas 42 pertuduhan membuat perakuan palsu kepada kastam tiga tahun lepas. — Gambar Bernama

BUTTERWORTH: Seorang pengarah syarikat logistik dan seorang ejen penghantar didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas 42 pertuduhan membuat perakuan palsu kepada kastam tiga tahun lepas.

Khoo Soo Keng, 57, dan Tan Kui Heong, 59, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ke atas mereka yang dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Khoo dan Tan didakwa bersama-sama telah membuat secara bertulis satu perakuan yang dikehendaki oleh Akta Kastam 1967 yang mana perakuan itu tidak betul seperti yang terdapat dalam Borang Kastam 2 yang menyatakan dagangan: ”Plastic Bags”di dalam kontena sedangkan dagangan itu tidak wujud.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pelabuhan Kontena Butterworth di sini antara Mei hingga Disember 2015.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 133(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Abdul Malik Awang Kecik @Ramli menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun peguam Datuk K.Subramaniam yang mewakili Khoo dan peguam Andy Ooi yang mewakili Tan masing-masing memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guam mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM53,000 (22 pertuduhan RM1500 setiap satu dan 20 pertuduhan lagi RM1,000 setiap satu)  dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement