Anda di sini

Pemotong rumput disyaki dibunuh rakan

Advertisement

TAWAU: Seorang pemotong rumput ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh kawannya sendiri di belakang tandas Taman Awam Muhibbah, Jalan Utara, di sini, pada Rabu.

Mangsa dikenali Sarif Pance, 52, lelaki warga asing dan tinggal di Kg Muhibbahraya, dipercayai ditikam beberapa kali dengan sebilah pisau sepanjang kira-kira 10 inci.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata polis masih memburu suspek utama, seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Darma Sakti, 49.

MANGSA disyaki dibunuh oleh kawannya sendiri, seorang pengawal keselamatan.
MANGSA disyaki dibunuh oleh kawannya sendiri, seorang pengawal keselamatan.

“Sebelum itu, ada saksi melihat suspek dan si mati berbual-bual di bawah pokok, tempat pengawal keselamatan berjaga, namun tidak ada perkara mencurigakan yang berlaku.

“Bagaimanapun, selang kira-kira 30 minit kemudian, saksi menyedari si mati masuk ke dalam stor menyimpan mesin rumput sebelum berjalan keluar semula,” katanya.

Fadil berkata sebaik si mati keluar dari stor, saksi terdengar bunyi bising di luar secara tiba-tiba, sebelum terus keluar dan melihat suspek sedang menikam si mati.

Menurutnya, suspek dilihat menikam dada si mati beberapa kali dengan pisau sebelum melarikan diri ke kawasan Airport Lama sebaik menyedari perbuatannya dilihat orang.

“Siasatan awal polis menunjukkan bahawa suspek tinggal di kawasan penempatan penduduk di Airport Lama ataupun Padang Terbang, Jalan OKK Abu Bakar,” katanya.

Beliau berkata kali terakhir suspek dilihat memakai baju t-shirt putih, berseluar pendek jeans kelabu gelap dan berselipar, serta berambut panjang (ikatan belakang).

Mengulas lanjut, gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mengetahui keberadaan lelaki itu diminta menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis.

ORANG awam turut dilihat berada di lokasi kejadian.
ORANG awam turut dilihat berada di lokasi kejadian.

“Motif kejadian juga masih lagi dalam siasatan dan buat masa ini belum ada sebarang ketetapan tarikh atau masa bedah siasat terhadap mayat si mati, diputuskan,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement