Anda di sini

Najib tiba di ibu pejabat SPRM beri keterangan kali kedua siasatan SRC International

Advertisement
 
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd. 

Ini merupakan kali kedua Najib diambil keterangan oleh SPRM setelah diarahkan hadir oleh badan pencegah rasuah itu pada Selasa lepas. 

Najib yang datang menaiki kenderaan Toyota Vellfire tiba pukul 9.45 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Difahamkan hanya anggota Parlimen Pekan itu akan masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM  seawal pukul 7 pagi untuk membuat liputan kes itu.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta bekas Presiden  UMNO itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.          

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Turut kelihatan di Ibu Pejabat SPRM ialah bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. Xavier Andre Justo  yang pernah mendapat perhatian media antarabangsa sebelum ini kerana pendedahannya mengenai kes 1MDB. -  BERNAMA

Advertisement