Anda di sini

Lelaki kena setahun, langgar perintah pengawasan APD

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan bernasib baik apabila tempoh pemenjaraannya dikurangkan kepada setahun, atas kesalahan gagal mematuhi perintah pengawasan Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Muhammad Safwan, 25, selepas membenarkan rayuannya atas hukuman.

Pada 24 Oktober tahun lalu, perayu dikenakan penjara dua tahun dan dua sebat selepas disabitkan mengikut Seksyen 6 (2) (d) APD 1983, oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan itu.

Tertuduh didapati melanggar perintah pengawasan APD, dengan cara memasukkan dadah ke dalam badan.

Kesalahan dilakukan pada 19 September tahun lalu, di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau.

Terdahulu, peguam Jonathan Yasin menyatakan hukuman yang dikenakan mahkamah rendah adalah terlalu tinggi, disamping sebatan sudah dikenakan terhadap anak guamnya.

Tambahnya, perayu sudah berada di dalam penjara selama tujuh bulan.

Timbalan Pendakwaraya Mohamad Khairuddin Idris menegaskan, perayu menggunakan dadah semasa dalam tempoh pengawasan.

Selain itu, perayu hanya sekali melaporkan diri di balai polis dan seterusnya gagal berbuat demikian, mengikut masa yang ditetapkan.

"Perayu dikenakan tiga tahun pengawasan APD oleh Mahkamah Majistret Ranau, namun melanggar perintah," katanya.

Nurchaya juga memerintahkan Muhammad Safwan dikenakan pengawasan selama tiga tahun, selepas tamat tempoh pemenjaraan.

  • oleh
  • Advertisement