Anda di sini

Keluarga penyampai Hot FM terima bayaran pencen PERKESO

Advertisement

KUANTAN: Ibu bapa kepada bekas penyampai radio Hot FM Terengganu dan Manis FM Mohd Rafly Rahamat yang meninggal dunia Sabtu lepas, akibat penyakit misteri bakal menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Pahang, Abu Hurairah Ahmad berkata pencen berkenaan akan diserahkan secepat mungkin kepada kedua-dua ibu bapanya memandangkan Allahyarham Mohd Rafly, 32 masih belum berkahwin.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, pihak kami melalui skuad PERKESO Prihatin melakukan semakan dan mendapati waris layak menerima pencen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian faedah pengurusan mayat Perkeso berjumlah RM2,000 kepada waris keluarga mangsa di FELDA Bukit Kuantan, di sini bagi meringankan beban keluarganya.

Sementara itu Rahamat Sidek, 54, berkata beliau dan isteri tidak menduga akan menerima pencen bulanan selepas kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu.

“Kehilangan arwah amat dirasai terutama bulan Ramadan ini kerana arwah seorang yang ceria dan sentiasa menghiburkan kami keluarga.

Di sebalik kehilangan ini, kami menerima pencen bulanan yang membuatkan perasaan begitu sayu dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk rohnya,” katanya.

Rafly meninggal dunia pada jam 7.10 malam Sabtu lepas selepas beberapa bulan menghidap penyakit misteri dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada bulan lalu, namun punca penyakitnya gagal dikenal pasti walaupun telah menjalani beberapa pemeriksaan.

Personaliti radio itu kemudian dibawa pulang ke rumah dan keadaannya dilaporkan lemah serta hilang selera makan hingga mengakibatkan berat badannya turun mendadak sebelum meninggal dunia. — Bernama

Advertisement