Anda di sini

Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dihadkan dua penggal

Advertisement
 Chow (duduk kiri) bersama yang lain menunjukkan Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan ditunaikan selepas mengadakan Mesyuarat Exco pertama di George Town semalam. — Gambar Bernama
MANIFESTO PH: Chow (duduk kiri) bersama yang lain menunjukkan Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan ditunaikan selepas mengadakan Mesyuarat Exco pertama di George Town semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Undang-Undang Tubuh Negeri Pulau Pinang akan dipinda bagi membolehkan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal dilaksanakan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata mesyuarat Exco semalam  telah bersetuju untuk menunaikan janji Pakatan Harapan yang pertama iaitu mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri selepas mendapat majoriti dua pertiga.

Katanya majoriti dua pertiga yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah memberi kuasa kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk membuat pindaan perlembagaan dan penasihat undang-undang kerajaan negeri telah diminta untuk mengkaji perkara itu.

“Perkara itu harus dimasuk-kan di dalam Perlembagaan Negeri (Undang-Undang Tubuh Negeri) supaya ia menjadi undang-undang tertinggi Pulau Pinang bagi tujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang ketua menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco yang pertama di sini semalam.

Beliau berkata butiran mengenainya akan diteliti apabila penasihat undang-undang negeri siap membuat kajian berhubung maksud tempoh dua penggal dan bila akan berkuat kuasa.

“Exco-Exco akan membincangkan dengan lebih teliti apabila penasihat undang-undang siap dengan kertas cadangan itu nanti dan kami juga ingin menjemput badan bukan kerajaan untuk memberi maklum balas mereka,” katanya.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibentang pada Persidangan Dewan Unda-ngan Negeri, November ini. — Bernama

Advertisement