Anda di sini

Dua peniaga mengaku salah jual pelbagai aksesori seragam PDRM secara haram

Advertisement

MIRI: Dua peniaga dalam dua kes berasingan masing-masing didenda RM500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan menjual pelbagai aksesori seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Ngo Le Huat, 60, dari Pujut 3 dan Michael Liong @ Liong Wen Kong telah didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Akta 334) yang boleh membawa denda tidak melebihi RM500 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, Ngo didapati ada menjual 19 keping lencana topi berlambang PDRM, 27 keping lencana kolar berlambang PDRM, tujuh utas tali pinggang PDRM, 28 lencana poket lambang tangan bersalaman, 21 biji butang pelbagai saiz berlambang PDRM dan 117 helai baju berlambang kadet polis tanpa mempunyai lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.55 petang, 2 April lalu di sebuah premis di Pusat Komersil Emart Tudan.

Manakala dalam kes kedua, Michael didapati telah menjual 15 keping lencana topi berlambang PDRM, 37 lencana kolar PDRM, tiga tali pinggang PDRM, 137 lencana poket lambang tangan bersalaman, dua bungkus butang pelbagai saiz dan sembilan helai baju berlambang kadet polis tanpa mempunyai lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 4.30 petang, 2 April lalu di sebuah premis di Jalan Maju, Taman Jade Manis di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor dan ASP Mary Ong, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili.

Advertisement