Anda di sini

Darma Sakti sudah diberkas

Advertisement

TAWAU: Polis sudah menangkap Darma Sakti, suspek utama kes bunuh dengan pisau, di Bukit Belacan, Batu 5 Jalan Apas di sini, kira-kira jam 12.50 tengah malam pada Khamis.

Kejayaan itu susulan operasi dan serbuan yang dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau diketuai ASP Cheong Soon Yew di sebuah rumah tidak bernombor.

Darma, seorang pengawal keselamatan, disyaki membunuh kawannya sendiri, seorang pemotong rumput bernama Sarif Pance, 52, di Taman Awam Muhibbah, Jalan Utara.

POLIS berjaya mengesan Darma (tengah) yang bersembunyi di sebuah rumah tidak bernombor di Bukit Belacan, Batu 5 Jalan Apas Tawau.
POLIS berjaya mengesan Darma (tengah) yang bersembunyi di sebuah rumah tidak bernombor di Bukit Belacan, Batu 5 Jalan Apas Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata suspek berusia 49 tahun berkenaan ditahan dalam tempoh hampir 13 jam selepas kes bunuh terbabit dilaporkan berlaku.

“Soal-siasat awal yang dijalankan mendapati, motif kejadian berpunca akibat rasa dendam suspek terhadap si mati,” katanya, menerusi kenyataan medianya.

Fadil berkata sehari sebelum kejadian, suspek menegur si mati kerana lewat datang kerja, namun si mati terus meludah di hadapan suspek dan tidak mengendahkan tegurannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek mengaku sudah merancang untuk membunuh si mati pada hari kejadian dengan membawa pisau ke tempat kerja.

”Kita merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 13 inci termasuk hulu, satu telefon bimbit, seluar, baju dan selipar yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengahari pada Rabu berikutan penemuan satu mayat lelaki yang berada dalam keadaan berlumuran darah.

Beliau berkata, suspek dilihat menikam si mati beberapa kali di dada menggunakan pisau, sebelum melarikan diri sebaik menyedari kejadian itu disaksikan oleh orang lain.

Suspek ditahan reman menerusi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) bermula Khamis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement