Anda di sini

Bekas pengarah JKR Labuan didenda RM3,000

Advertisement

Terima suapan pakej penginapan dan golf bernilai RM2,880.90

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, mengenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan, terhadap bekas pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan, atas kesalahan menerima suapan.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Che Ros, 60, selepas menukar pengakuan kepada bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebagai penjawat awam pengarah JKR, menerima pakej penginapan dan permainan golf bernilai RM2,880.90 daripada Teoh Hon Chun.

ISMAIL keluar dari kamar mahkamah.
ISMAIL keluar dari kamar mahkamah.

Teoh pengurus projek Borneo Era Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, melibatkan projek pembinaan Jalan Pintas Kampung Gersik, Wilayah Persekutuan Labuan.

Kesalahan dilakukan pada 5 hingga 7 Ogos 2016 di sebuah bilik, Sutera Harbour Resort, di sini.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit salah, penjara selama tempoh dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 16 Julai 2014, ibu pejabat JKR melantik Syarikat Borneo Era Sdn Bhd menjalankan pembinaan jalan terbabit, yang mana pengarah projek dilantik adalah pengarah JKR Labuan.

Pada 17 Julai 2014, syarikat terbabit membuat perjanjian dengan Syarikat Tanah Permai Sdn Bhd untuk menjalankan projek berkenaan.

Namun, pada 18 Julai 2014 syarikat itu menyerahkan projek berkenaan kepada Syarikat Oscacom Sdn Bhd, melalui perjanjian.

Projek berjaya disiapkan pada 30 Julai 2016, awal sepuluh hari dari tarikh sebenar siap projek, yang mana status projek adalah dalam tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan.

Pada 3 Ogos 2016, tertuduh menghubungi Teoh untuk memberitahu, ingin bercuti dan bermain golf lalu bertanyakan tempat sesuai, Teoh mencadangkan Sutera Harbour Resort.

Teoh menempah sebuah bilik di resort terbabit menggunakan nama rakannya Lim Vui Kiong atas persetujuan bersama, dengan menggunakan kad kreditnya..

Petugas kaunter pendaftaran dan petugas pusat golf resort terbabit mengesahkan, bayaran penginapan dan permainan golf dibayar Lim, masing-masing berjumlah RM2,880.90.

Lim kemudiannya membuat tuntutan semula bayaran daripada Teoh, dengan bayaran balik dibuat melalui tuntutan daripada akauntan syarikat Oscacom.

Tertuduh ditangkap pada 28 November 2016 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan.

Semasa rayuan peguam Zahir Shah menyatakan, pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah, yang mana anak guamnya insaf dengan kesalahan itu.

“Sepanjang tempoh siasatan, tertuduh memberikan kerjasama dengan pihak SPRM. Setelah dituduh, tertuduh hanya menerima gaji separuh.

“Selepas ini, kemungkinan tertuduh kehilangan wang pancen daripada kerajaan, walaupun sudah berkhidmat selama 37 tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya Rozana Abd Hadi meminta hukuman penjara dikenakan terhadap tertuudh, dengan mengambil kira sebagai penjawat awam tidak harus menerima apa-apa harta daripada pihak tertentu.

“Sebagai pegawai kerajaan yang berpengalaman, tertuduh sepatutnya mengetahui batasan yang perlu diamalkan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement