Anda di sini

10 AJK bahagian, dua ajk pemuda umno tawau keluar parti

Advertisement
 Hamid (tengah) bersama rakan-rakannya mengisytiharkan mereka melepaskan jawatan dan keluar dari UMNO berkuat kuasa serta-merta.
KELUAR UMNO: Hamid (tengah) bersama rakan-rakannya mengisytiharkan mereka melepaskan jawatan dan keluar dari UMNO berkuat kuasa serta-merta.

TAWAU: Seramai 10 Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tawau mengisytiharkan keluar dari parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu turut disertai dua AJK Pemuda bahagian, menjadikan kesemua mereka seramai 12 orang yang bertindak meletakkan jawatan dan meninggalkan UMNO Tawau.

Antaranya, Bendahari Bahagian Hamid @Hamild Awang dan AJK Bahagian merangkap bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas Sarman Amat Simito.

Turut terlibat, Mardawiah Udin, Abdul Razak Abbas, Datu Abd Rahman Datu Ismail, Nordin Nusu, Mohamad Oman, Yusup Abd Ghani, Datu Indal Datu Ismail dan Suoroto Karto Marmo @Jeffrey Su.

Dua AJK Pemuda bahagian yang turut membuat keputusan serupa pula ialah bekas Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Apas Hazman Hakim dan Datu Halnain Datu Ismail.

Hamid berkata keputusan itu adalah muktamad dan hasil persetujuan sebulat suara yang dicapai sesama mereka tanpa wujudnya paksaan atau tekanan daripada sebarang pihak.

“Sebenarnya, kita keluar dari UMNO bukan kerana menyalahkan pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Menurutnya, keputusan itu dilakukan berikutan kesedaran mereka sendiri sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab memberikan sokongan kepada kerajaan memerintah.

Beliau berkata mereka yakin dan percaya bahawa kerajaan sekarang akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan di peringkat negeri dan kawasan.

“Kami meletakkan jawatan dan keluar dari UMNO ini juga bukanlah untuk mengejar jawatan di parti lain dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh hala tuju mereka pula, Hamid dan rakan-rakannya berhasrat untuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) namun tertakluk kepada persetujuan kepimpinan WARISAN.

Pada masa sama, mereka juga berhasrat untuk membawa penyokong di cawangan masing-masing untuk turut sama menyertai WARISAN, namun tidak ada paksaan diberikan.

”UMNO Bahagian Tawau mempunyai 172 cawangan,” katanya sambil meluahkan hasrat untuk melihat perubahan dan kemajuan lebih baik di negara ini, khasnya di Sabah.

Advertisement