Anda di sini

Wong pastikan penurunan kuasa berkaitan kesihatan dipercepat

Advertisement

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong Tien Fatt mahu penurunan kuasa berkaitan kesihatan daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan cepat.

Justeru Wong, Ahli Parlimen Sandakan yang memegang porfolio itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk membincangkan perkara tersebut.

“Saya akan mendapatkan masa sesuai untuk berjumpa dengan Menteri Kesihatan disebabkan dia baharu semalam (kelmarin) mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet persekutuan.

“Kita akan memastikan peralihan kuasa mengenai kesihatan daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dilaksanakan yang merupakan janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 menerusi pewujudan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dalam Kabinet Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini, semalam.

Pada lawatan itu, beliau diberikan taklimat oleh Timbalan Presiden MPS Hamsan Awang Supain dan hadir sama ADUN Elopura Calvin Chong.

Wong yang juga Pengerusi DAP Sabah berkata mekanisme terbaik akan diambil bagi memastikan peralihan kuasa itu berjalan lancar.

Menurutnya apabila ia dilaksanakan, apa-apa program dan rancangan mengenai kesihatan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan di negeri ini perlu berbincang dengan kerajaan negeri Sabah.

Mengenai tumpuan lain beliau dalam mengetuai kementerian baharu itu, Wong berkata antara yang beliau berikan perhatian adalah mengenai pemberian bantuan kewangan bulanan kepada mereka yang memerlukan khususnya Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

Katanya beliau akan memastikan sistem penyaluran bantuan itu berjalan dengan baik dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Menurutnya antara aduan yang diterima daripada penerima adalah kelewatan penyaluran bantuan. — Bernama

Advertisement