Anda di sini

Upko mahu khidmat Mayor DBKK diteruskan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengalaman luas dengan pelbagai pencapaian sepanjang perkhidmatan menjadi penanda aras kecemerlangan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai.

Setiausaha Penganjur Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wong Thien Fook (gambar) berkata, berdasarkan rekod cemerlang yang dicapai, pihaknya yakin Yeo mampu meneruskan perkhidmatan terbaik.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh agar kontrak perkhidmatan Yeo sebagai mayor DBKK disambung selepas ini.

WONG
 

Menurutnya, Yeo memiliki keupayaan untuk meneruskan khidmat kepada pembayar cukai melalui pelaksanaan program dan pembangunan terutamanya dari aspek kemudahan infrastruktur.

"Pengalamannya juga akan mampu membangunkan imej bandaraya berkualiti serta meningkatkan ekonomi yang dinamik dan berdaya saing sejajar dengan status bandaraya.

"Sepanjang perkhidmatannya, beliau berjaya membawa banyak perubahan dan kemajuan khususnya kepada DBKK dan warga bandaraya.

"Ini sekaligus menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang menarik dan sejahtera," katanya di sini pada Rabu.

Wong yang juga naib ketua bahagian Upko Sepanggar berkata, pihaknya percaya Yeo dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi yang tinggi.

Katanya, Upko Sepanggar berpuas hati dengan rekod perkhidmatan yang ditunjukkan Yeo dan menggesa kerajaan negeri supaya mempertimbangkan penyambungan semula untuk jawatan berkenaan.

Untuk rekod, Yeo dilantik sebagai mayor DBKK bagi menggantikan Datuk Abidin Madingkir yang bersara pada 2 Feb 2016.

Advertisement