Anda di sini

Tempoh pemenjaraan nelayan dilanjutkan 20 tahun

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang nelayan dikenakan penjara 20 tahun, oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang lelaki.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Mohd Faizal Johari, 20, selepas membenarkan semakan terhadap hukuman oleh pihak pendakwaan.

Pada 18 April, responden dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit salah, penjara selama tempoh 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mohd Faizal menyebabkan kematian Madzmin Sampang, 22, yang tidak memiliki dokumen diri dengan menggunakan senjata sebilah pisau lipat.

Kesalahan dilakukan pada 8 Ogos tahun lalu jam 7 malam hingga jam 10 malam, di hadapan Syarikat Meibau Enterprise, Taman Tanjong Kapor, daerah Kudat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Wan Farrah Wan Ghazali meminta agar tempoh pemenjaraan terhadap responden dilanjutkan.

Tambahnya, kesalahan yang dilakukan serius dan hukuman berat perlu dijatuhkan terhadap tertuduh, agar menjadi pengajaran kepada orang awam.

Mohd Faizal yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar tempoh pemenjaraannya disingkatkan.

Nurchaya memerintahkan responden menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkap, pada 10 Ogos tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement