Anda di sini

Sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kuala Penyu meriah

Advertisement
 Para pemenang Unduk Ngadau peringkat daerah Kuala Penyu bergambar bersama hadiah masing-masing.
RATU: Para pemenang Unduk Ngadau peringkat daerah Kuala Penyu bergambar bersama hadiah masing-masing.

KUALA PENYU: Perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kuala Penyu disambut meriah dengan pelbagai acara kebudayaan sebagai pengisian dalam suasana harmoni dan muhibah.

Orang ramai membanjiri kawasan Dewan Dato Shahbandar Makang seawal jam 8 pagi untuk mengambil bahagian serta menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan.

Perayaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

Acara kemuncak ialah pertandingan Unduk Ngadau yang dimenangi Winanita Angang, 22, dari Zon Bundu, manakala tempat kedua Raynie Raymond Juri, 18, dari Zon Melampai.

Dalam ucapannya, Limus berharap agar Pesta Kaamatan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh rakyat pelbagai kaum untuk mengeratkan kesatuan dan perpaduan.

Pada masa yang sama, beliau berharap agar perayaan itu menjadi pentas bagi mengetengahkan keunikan budaya tempatan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke daerah ini.

“Saya juga berharap agar kita semua terus memelihara warisan budaya bangsa untuk diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat mensyukuri keamanan dan keharmonian negara dan negeri ini yang membolehkan penganjuran pelbagai acara kebudayaan dengan meriah.

Oleh itu katanya, rakyat perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kesempatan itu untuk mengangkat kembali kebudayaan yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Inilah sebenarnya kekuatan masyarakat kita yang masih kaya dengan warisan seni budaya yang boleh menjadi daya tarikan utama masyarakat luar untuk berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Advertisement