Anda di sini

Salah guna iklan bazar Ramadan perlu dipantau

Advertisement

Pengunjung terkejut gerai makanan halal, tidak halal bercampur


 

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memantau penyalahgunaan iklan kain rentang yang menggunakan nama bazar Ramadan.

Seorang pengunjung bazar Ramadan, Hashima Hasbullah terkejut apabila mendapati gerai makanan halal dan tidak halal bercampur tanpa ada ruang pengasingan di salah sebuah 'bazar Ramadan' di sini.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku pada Sabtu lepas dan ia turut mengejutkan beberapa pengunjung yang lain.

"Ini pertama kali saya mengunjungi bazar di kawasan berkenaan dan apabila melihat kain rentang yang bertulis bazar Ramadan, ia lebih meyakinkan saya untuk membeli juadah di sana.

KAIN rentang yang menggunakan istilah bazar Ramadan di kawasan berkenaan.
KAIN rentang yang menggunakan istilah bazar Ramadan di kawasan berkenaan.

"Sebaik memasuki kawasan bazar, saya agak terkejut kerana gerai-gerai yang ada di situ bercampur antara jualan makanan halal dan tidak halal.

"Keadaan seperti ini sudah tentu mendatangkan kemarahan orang awam khususnya pengunjung yang beragama Islam kerana rasa tertipu dengan kain rentang yang mereka gunakan," jelasnya kepada Utusan Borneo di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menghubungi beberapa organisasi penguatkuasa di negeri ini bagi menjelaskan tentang perkara itu, namun tiada tindakan tegas yang dapat diambil.

Katanya, tinjauan di kawasan berkenaan pada Selasa mendapati kain rentang terbabit sudah diturunkan.

Beliau difahamkan, pihak pengurusan yang menganjurkan bazar itu menurunkan sendiri kain rentang berkenaan selepas dinasihatkan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah.

Sementara itu, Ketua Unit Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Shazlina Abdul Rashid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima aduan berhubung kejadian itu.

Katanya, bazar Ramadan terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengeluarkan lesen.

"Aduan sudah dipanjangkan kepada DBKK untuk tindakan. Ia bukan di bawah bidang kuasa bahagian penguatkuasa agama kerana penjual yang terlibat adalah bukan Islam.

"Bagaimanapun, makluman daripada DBKK menjelaskan tindakan akan diambil berhubung isu ini memandangkan pihak pengurusan berkenaan tidak ada memohon lesen untuk membuka bazar Ramadan.

"Kami juga menerima maklumat KPDNKK turut berjumpa dengan pihak pengurusan di bazar itu dan mengarahkan agar kain rentang bazar Ramadan diturunkan segera," katanya.

  • oleh
  • Advertisement