Anda di sini

Perdagang kanak-kanak: Lelaki warga emas ketahui nasib 9 Julai

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang didakwa memperdagangkan dua kanak-kanak warga asing, akan mengetahui nasibnya pada 9 Julai, di Mahkamah Sesyen di sini.

Hii Hiong Ping, 70, akan mengetahui sama ada dipanggil Hakim Azreena Aziz untuk membela diri atas pertuduhan itu, atau sebaliknya.

Kes berkenaan ditutup pada peringkat akhir pendakwaan, selepas enam saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama Harry yang masih bebas, memperdagangkan dua adik-beradik masing-masing berusia 14 tahun dan 12 tahun dijadikan buruh paksa.

Kesalahan dilakukan pada 2 Oktober tahun lalu jam 11.28 pagi di kawasan tapak pembalakan, Kampung Melalia daerah Sipitang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, penjara antara tiga tahun hingga tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Azreena menetapkan pada 11 Jun untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan masing-masing, manakala hujahan balas difailkan pada 29 Jun.

Pada Disember tahun lalu, tertuduh didakwa atas pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.

Sementara menunggu kes selesai, tertuduh yang diwakili peguam Shahlan Jufri diberikan ikat jamin sebanyak RM20,000 deposit RM10,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

  • oleh
  • Advertisement