Anda di sini

KRT Taman Sri Panglima berbuka puasa bersama anak yatim

Advertisement

BEAUFORT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Panglima telah menganjurkan program berbuka puasa bersama penghuni Rumah Anak Yatim Al-Aman yang diadakan di pusat berkenaan.

Majlis yang meraikan seramai 53 penghuni rumah berkenaan merupakan salah satu sumbangan dan peranan KRT dalam persekitaran masyarakat setempat agar bersesuaian dengan kewujudan KRT yang berfungsi sebagai satu organisasi dalam masyarakat.

JIMRAN (kiri), Norazam (dua dari kiri) bersama para AJK dan sukarelawan.
JIMRAN (kiri), Norazam (dua dari kiri) bersama para AJK dan sukarelawan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi KRT Taman Sri Panglima Jimran Matkahar mengucapkan tahniah dan terima kasih khususnya kepada

Jawatankuasa Kebajikan dan Jiran Wanita yang bertungkus-lumus menjayakan program itu.

“Salah satu tujuan program ialah mempromosikan kepedulian masyarakat terhadap keadaan yang berlaku di persekitaran mereka.

“Selain itu, program ini juga berupaya mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum contohnya ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama dan bergotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya.

Sementara itu, A Razak Othman, sukarelawan rumah anak yatim yang bertanggungjawab menjaga kebajikan para penghuninya, melahirkan rasa terharu dengan kehadiran penduduk Taman Sri Panglima yang telah berjaya mengadakan majlis sedemikian di rumah berkenaan.

Beliau turut menceritakan cabarannya sebagai sukarelawan sejak 20 tahun lalu di mana, sudah banyak pengalaman telah dilalui sepanjang tempoh itu.

ANTARA penyelia dan penghuni Rumah Anak Yatim Al-Aman.
ANTARA penyelia dan penghuni Rumah Anak Yatim Al-Aman.

Sementara Pegawai Perpaduan Daerah Beaufort Norazam mengucapkan tahniah kepada KRT Taman Sri Panglima kerana usaha murni yang telah dijalankan dalam memastikan KRT berfungsi dengan baik dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha KRT Awang Sulaiman Marali, Bendahari KRT Bubin Leh, Pengerusi Surau Assadah Taman Sri Panglima Zifredin Abdul Rahman, AJK KRT Taman Sri Panglima, AJK surau dan para penjaga Rumah Anak yatim Al-Aman.

Advertisement