Anda di sini

Kerjasama swasta dan awam perlu untuk jayakan aspirasi rakyat: KM

Advertisement
 Mohd Shafie bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama
ERATKAN KERJASAMA: Mohd Shafie bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerjasama erat pembuat dasar, penjawat awam dan swasta perlu bagi memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sehubungan itu katanya penjawat awam an swasta bukan sahaja perlu memahami dasar dan hala tuju kerajaan baharu yang diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan baik tetapi juga melaksanakannya secara berkesan.

“Kita kena faham dan sedar bahawa pelanggan kita adalah rakyat. Kita berkhidmat untuk rakyat, untuk memastikan apa yang rakyat kehendaki dapat kita selaraskan sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan mereka dapat kita zahirkan.

“Saya yakin kalau kerjasama ini dapat kita tingkatkan dan memahami dasar-dasar yang diperkenalkan serta kita mempunyai sistem penyampaian yang mencukupi, insya-Allah saya yakin kita akan meletakkan pencapaian perkhidmatan di negeri Sabah ini pada tahap memuaskan,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Sabah, di sini semalam.

Mengenai kes kematian enam ekor gajah pigmi di negeri ini sejak April lalu, Mohd Shafie berkata, beliau telah meminta Jabatan Hidupan Liar meneliti kes itu secara serius kerana kejadian seumpama sudah berlaku beberapa kali.

Katanya, sekadar mengetahui  kejadian itu tidak memadai sebaliknya perlu ada tindakan proaktif  bagi memastikan ia tidak berulang pada masa depan.

“Hidupan liar antara agenda kerajaan negeri dan pusat bahkan banyak badan antarabangsa sedang melihat perkembangan hidupan liar di sini agar ia dapat dijaga atau dipelihara dengan baik,” katanya. — Bernama

Advertisement