Anda di sini

Kerajaan Negeri pertimbang benarkan penggunaan bot pam

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan kelulusan bagi membenarkan nelayan menggunakan bot pam di kawasan pesisir pantai.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya akan membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

“Bot pam biasanya digunakan oleh golongan nelayan yang kurang berpendapatan bagi menangkap ikan di kawasan pesisir pantai.

SHAFIE menandatangani buku pelawat semasa melakukan lawatan kerja buat kali pertama di IPK Sabah hari ini.
SHAFIE menandatangani buku pelawat semasa melakukan lawatan kerja buat kali pertama di IPK Sabah hari ini.

“Larangan penggunaan bot pam dikuatkuasakan beberapa tahun lalu berikutan insiden penculikan serta jenayah rentas sempadan di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.

Menurutnya pihaknya akan mempertimbangkan kebenaran penggunaan bot pam untuk mengambil kira golongan nelayan yang kurang berkemampuan untuk membeli peralatan komunikasi termasuk Sistem Pemantauan Automatik (AIS) yang mencecah ribuan ringgit.

Beliau bagaimanapun berkata perkara ini kini sedang dalam perincian bagi mengambil kira aspek serta keadaan keselamatan Sabah.

“Kita masih fikirkan impak pelaksanaan ini dan cara mengatasinya termasuk membuat bot pam sendiri bagi mengejar pihak musuh di kawasan cetek dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya dalam masa sama beliau juga akan mengutamakan aspek mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi mengelakkan pihak penjenayah rentas sempadan memasuki negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerjanya buat kali pertama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Majlis Iftar PDRM Kontinjen Sabah.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin.

Sementara itu Shafie berkata beliau turut memberikan pandangan untuk mempertingkatkan penugasan anggota keselamatan di Sabah selari dengan bantuan serta sokongan masyarakat di negeri ini.

SHAFIE (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pasukan polis IPK Sabah semasa melakukan lawatan kerja hari ini.
SHAFIE (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pasukan polis IPK Sabah semasa melakukan lawatan kerja hari ini.

“Saya percaya dengan adanya sokongan masyarakat penuh kepada anggota keselamatan akan meningkatkan lagi penugasan mereka seterusnya menjamin keselamatan padu di negeri ini.

“Dengan meningkatnya keselamatan Sabah pihak luar termasuk pelancong akan bertambah seterusnya menjamin peluang pekerjaan yang baik kepada rakyat terutamanya di kawasan pantai timur,” katanya sambil menambah perkara ini adalah antara aspek yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan langkah-langkah 100 hari kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement