Anda di sini

Kem penyanyi-penggubah lagu YSDAF 2018 hujung minggu ini

Advertisement
 

MENJELANG acara kemuncak yang akan berlangsung pada 18 - 19 Ogos nanti,  Yayasan Sime Darby Arts Festival (YSDAF 2018) akan melancarkan sebuah acara satelit bertajuk ‘…And the Curtain Rises’.

Dua belas penyanyi-penggubah lagu akan digabungkan untuk mencipta 12 karya baru dalam tempoh 12 jam. Hasil ciptaan mereka akan mengetengahkan masalah-masalah sosial yang merobek jiwa.

“Acara ini seakan-akan ‘speed dating’ gaya penyanyi-komposer,” kata Ian Chow, penerbit bersama acara satelit tersebut.

Tambahnya, berbeza dengan ‘speed dating’, penyanyi-penggubah lagu yang mereka ‘jodohkan’ tiada pilihan dan setiap pasangan harus bekerjasama untuk menghasilkan lagu baru dalam masa 12 jam walaupun tidak serasi.

“Ini adalah kerana setiap pasangan akan mempersembahkan hasil ciptaan mereka secara langsung di hadapan penonton umum. Bukan itu sahaja, dedikasi mereka juga akan dirakam secara ‘live’ untuk dijadikan sebagai CD,” katanya lagi.

Penyanyi-penggubah lagu yang terlibat adalah seperti Aina Abdul, Brendan de Cruz, Beverly Matujal, Dickson Chai, Endee Ahmad, Fuad dari Kyoto Protocol, Isaac Ho, Melissa Toh, Nick Davis, Otam, Priscillia Xavier serta pasangan duo Shir Ling & Jacq Teng.

Tema YSDAF 2018 kali ini akan menggambarkan bagaimana elemen kesenian mempengaruhi orang ramai dan sebaliknya.

Dalam usaha untuk menjadi lebih inklusif, serta memperluaskan pengaruh sosial mereka, pihak penganjur turut bekerjasama dengan beberapa kumpulan sasaran seperti golongan kurang upaya dan kurang bernasib baik, para pelajar dan lain-lain.

Ini merupakan lanjutan daripada tonggak Komuniti dan Kesihatan YSD, sebuah inisiatif awam yang mempelopori pelbagai program advokasi dan inisiatif kemasyarakatan yang bertujuan menjaga kesejahteraan golongan yang kurang bernasib baik atau sering dipinggirkan.

‘…And the Curtain Rises’ adalah antara acara sampingan yang akan membina momentum menjelang kemuncak pesta kesenian yang akan berlangsung selama dua hari, pada Ogos nanti.

Antara acara lain yang turut dianjurkan termasuklah program jangkauan drama dan komunikasi, pertandingan antara kugiran atau ‘battle of the bands’ serta acara seni pemasangan atau seni interaktif.

Penerbit bersama Coebar Abel berkata kem penyanyi-penggubah lagu ini bertujuan mencetuskan idea asal, menggalakkan kolaborasi antara artis serta mempamerkan kepelbagaian bakat tempatan.

“Kami juga ingin menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu sosial yang menyelubungi pelbagai lapisan masyarakat walaupun ia tidak bersaling-kait dengan kehidupan seharian kita.

“Kami berharap para penonton yang menyaksikan program ini dapat pulang dengan perasaan empati terhadap masalah yang dihadapi oleh sesetengah golongan atau komuniti terpinggir di Malaysia,” katanya.

Tambah Coebar lagi, rakaman CD tersebut akan diedarkan kepada pengunjung yang mendaftar awal untuk ke finale pesta kesenian yang akan datang itu.

Ketua Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zainal Abidin pula berkata kem penyanyi-penggubah lagu ini adalah sebuah inisiatif baru yang menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk mendalami isu sosial dan komuniti secara kreatif, iaitu melalui seni musik.

“Tujuan utama YSDAF 2018 ini adalah untuk menggunakan subjek seni sebagai platform yang menyatukan rakyat Malaysia serta meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu umum yang wajib mendapat perhatian orang ramai. Kami harap acara satelit ini dapat membantu pihak kami mencapai matlamat tersebut.

“Dengan menggunakan seni lagu untuk memberi suara kepada golongan berkepentingan yang jarang diberi peluang bersuara, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat mendalami perasaan dan jiwa masing-masing apabila mereka berhadapan dengan isu-isu yang ditimbulkan.

“Kami cuma ingin menyentuh jiwa rakyat Malaysia melalui seni, sebuah medium pengetahuan alternatif ke arah penyelesaian mampan,” katanya lagi.

Karya atau ciptaan asal hasil kem penyanyi-penggubah lagu ini akan dipersembahkan dalam program ‘…And the Curtain Rises’ yang akan berlangsung pada 26-27 Mei ini di klpac Pentas 2. Kemasukkan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi di www.ysdartsfestival.com.my.

Advertisement