Anda di sini

JKJR galak kongsi tips di media sosial

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengkongsian tips dan statistik berkaitan kempen keselamatan jalan raya melalui media sosial amat digalakkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sabah Janet David berkata, media sosial adalah medium paling berkesan dalam menyebarkan maklumat.

Menurutnya, selain mudah untuk disebarkan, semua maklumat berkaitan keselamatan jalan raya juga ada di laman sosial.

"Ini bukan sahaja dapat mendidik diri sendiri untuk menjadi pengguna jalan raya yang berhemah, malah kita juga dapat berkongsi pengetahuan bersama ahli keluarga, komuniti serta pengguna media sosial yang lain.

JOANNES (tengah) memakaikan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal.
JOANNES (tengah) memakaikan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal.

"Saya berharap langkah ini juga akan dapat memupuk budaya patuh peraturan jalan raya dalam kalangan masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Tahun 2018, di sini pada Rabu.

Program berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Joannes Solidau.

Janet berkata, sejak kempen kesedaran itu dijalankan beberapa tahun lepas, ia mula menunjukkan keberkesanan dalam kalangan masyarakat khususnya dalam beberapa aspek.

"Hasil kajian menunjukkan program ini berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat contohnya penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang di belakang.

"Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 9 peratus bagi aspek ini terutamanya apabila kempen sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Joannes berkata pelaksanaan program kesedaran pada musim perayaan amat bersesuaian.

Ia kerana jelasnya, banyak kes kemalangan direkodkan berlaku pada musim-musim perayaan.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat lebih memberi tumpuan semasa memandu dan tidak terlalu mengikut emosi.

Sempena program itu, beberapa penunggang motosikal dan pemandu kenderaan diberikan topi keledar percuma bersama barangan cenderahati.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Kinabalu Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob.

  • oleh
  • Advertisement