Anda di sini

Ibu bapa, guru timba pengalaman pengurusan sekolah

Advertisement
PERJALANAN di Putrajaya.
PERJALANAN di Putrajaya.

LAWATAN rombongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kota Marudu II Salaping ke Kuala Lumpur berjaya mencapai matlamat dan merangsang pengetahuan kalangan ibu bapa untuk lebih proaktif membantu guru-guru menggerak kecemerlangan sekolah.

Rombongan 21 orang diketuai Pengetua Cemerlang Marmoh Kasman meluangkan masa melawat Sekolah Jalinan Kasih, sebuah sekolah gelandangan yang terletak di pusat ibu negara, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya, tempat-tempat mercu tanda di Kuala Lumpur dan menikmati sistem pengangkutan kota raya.

“Keadaan di ibu negara sangat maju dan adalah penting jika semua pemimpin kampung dapat melihat kemajuan ini untuk mengisi pengetahuan, kemajuan di sini juga adalah petanda kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata KK Oyong ketika memberi reaksi tentang kunjungan pertama beliau ke Kuala Lumpur itu.

Timbalan Yang Dipertua PIBG KK Hussin Miyasin menyifatkan lawatan itu amat berjaya meskipun hanya sebuah sekolah sempat dikunjungi, namun pengetahuan yang diperoleh amat bermanfaat khususnya dalam aspek pengambilan pelajar dari kalangan gelandangan di samping mempelajari pengurusan sekolah berkenaan.

“Lawatan ke sekolah gelandangan itu juga memberikan pengetahuan tentang pengurusan kewangan sekolah, kemasyarakatan dan pembangunan sahsiah murid,” kata pemyelaras rombongan Dayang Sinar Haji Igah.

Kunjungan pertama rombongan PIBG SMK Kota Marudu II ke Kuala Lumpur itu juga telah memberi ruang kepada sebahagian anggota rombongan yang baru pertama kali mengunjungi ibu negara untuk menjejakkan kaki ke pelbagai tempat yang sering menjadi sebutan ramai.

Sebahagian di antara tempat yang dikunjungi ialah I City Shah Alam, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvension Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Putra di Putrajaya, menaiki LRT dan bas percuma di sekitar bandaraya.

Pergerakan rombongan selama bertandang ke ibu negara dipermudahkan dengan menempati penginapan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman yang menjadi pusat bandaraya dan kawasan beli-belah pada paras harga sederhana.

Di samping perjalanan rasmi, terselit kisah selingan apabila para anggota rombongan berpecah di kota raya mengikut arah masing-masing. Tidak kurang anggota rombongan tersekat menuju destinasi kerana terlajak arah, almaklum Kuala Lumpur agak asing bagi sebahagian mereka.

Meski menempuh jadual perjalanan yang padat, rombongan tetap menyempurnakan ibadah dan sempat solat berjemaah di Masjid Putra. Keadaan agak lengang ketika itu di mana hanya kelihatan beberapa bas pelancong dari China, Jepun dan Korea.

Hari terakhir rombongan berpeluang menaiki bas percuma ke Jalan Masjid India di mana terdapatnya banyak pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai dan menawarkan harga menarik untuk barangan berbentuk pakaian dan gajet.

Rombongan mengakhiri lawatan di Kuala Lumpur dengan berkumpul bersama menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran sajian tradisi yang amat menyelerakan.

  • oleh
  • Advertisement