Anda di sini

Henti sebar fitnah Pan Borneo - Fadillah

Advertisement
 

KUCHING: Dakwaan kononnya kontraktor utama dianugerahkan projek bernilai RM27 billion sedangkan kos projek hanyalah RM12.5 bilion hari ini disanggah oleh bekas Menteri Kerja Raya Malaysia.

Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk melaksanakan projek Pan Borneo di negeri Sarawak sahaja, tegas Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

“Sebenarnya, peruntukan RM27 bilion adalah untuk membina keseluruhan Projek lebuhraya Pan-Borneo meliputi 936km di Sarawak dan 727km di Sabah sedangkan LBU hanya terlibat di Sarawak sahaja,” tegas Fadillah.  

Beliau turut menafikan sebarang salah laku kerana pelaksanaan sesebuah projek berskala besar di negara ini perlu melalui proses semakan pengurusan nilai, bermula di peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU) / Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Majlis Ekonomi Negara (EC) sebelum ke Jemaah Menteri. 

Justeru bagi Projek Pan Borneo yang dikategorikan berskala besar,  ianya perlu melalui proses berkenaan.

“Sehubungan itu dakwaan yang cuba mengaitkan saya ketika menjadi Menteri di Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam proses pemberian kontrak Lebuhraya Pan Borneo kepada syarikat Project Delivery Partner (PDP) Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana KKR tidak memainkan peranan dalam memutuskan projek,” tegas beliau.

Katanya, pihak yang menyebarkan dakwaan sedemikian di media sosial dan melalui aplikasi WhatsApp seharusnya menyemak fakta sebenar sebelum menyebarkan fitnah seperti itu.

Fadillah dalam kenyataan media kepada Utusan Borneo berkata terdapat empat jawatankuasa yang memantau pelaksanaan projek Pan Borneo Sarawak iaitu;

i) Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan oleh KSN

ii) Jawatankuasa Eksekutif dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri

iii) Jawatankuasa Tender dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri

iv) Jawatankuasa Kawalan Kos dipengerusikan oleh SUT MIDT

“Kementerian Kerja Raya hanya bertindak sebagai “checker” untuk memantau pematuhan dalam proses pelaksanaan projek berkenaan,” kata Fadillah.

“Manakala bayaran kepada Kontraktor dan PDP dibayar setelah disahkan oleh konsultan jawatankuasa kewangan dan dibayar oleh Kementerian Kewangan bukannya oleh Kementerian Kerja Raya,” jelas Fadillah.

Berhubung dakwaan kononnya kontraktor utama tidak membayar subkontraktor, Fadillah berkata semenjak kerja-kerja bagi sektor Telok Melano – Sematan bermula pada  September 2015 sehingga April 2018, sejumlah RM2.077 billion telah dibayar kepada kontraktor pakej-pakej Pan Borneo di Sarawak mengikut segala terma dan syarat yang dipersetujui bersama.
 

Advertisement