Anda di sini

Dua lelaki dipenjara 18 tahun rogol kenalan WeChat

Advertisement

TAWAU: Dua perogol dihukum penjara selama 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, kerana merogol seorang remaja perempuan, 19, secara berkumpulan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu, masing-masing kepada Mohd Supardie Wahidin Abbas, 18 dan Basir Bambang, 26.

Supardie dan Basir dihukum mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

 

Kedua-dua lelaki warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu juga diarah supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Mereka berdua menukar pengakuan bersalah masing-masing selepas pihak pendakwaan memanggil dua saksi untuk memberikan keterangan semasa perbicaraan berlangsung.

Mengikut pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mereka pada 6 Oktober tahun lepas kira-kira jam 4.40 petang di kawasan Taman Bukit Tawau.

Mangsa mengaku mengenali Supardie melalui WeChat, dua bulan sebelum kejadian, serta dibawa menaiki motosikal, kononnya untuk berjumpa dengan keluarga tertuduh.

Tetapi, tertuduh pertama bertindak membawa mangsa ke sebuah ladang kelapa sawit bersama dua lagi rakannya yang dikenali sebagai Basir (tertuduh kedua) dan Andi.

Mangsa kemudiannya dirogol secara bergilir-gilir oleh tertuduh pertama dan kedua, sementara Andi pula sekadar menyaksikan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, hasil daripada bantuan orang awam, mangsa dapat menyelamatkan diri sebelum tampil membuat laporan polis pada hari berikutnya.

Semasa membuat rayuan supaya mahkamah meringankan hukuman mereka, kedua-dua tertuduh mengaku sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memohon hukuman berat dijatuhkan mengambil-kira kepentingan awam dan kesan trauma dialami mangsa.

  • oleh
  • Advertisement