Anda di sini

Beberapa agensi, institusi dibubarkan - Dr Mahathir

Advertisement
Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri kali pertama di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri kali pertama di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Antara yang akan dibubarkan ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

"Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi  nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

"Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya  fikir kita pun ada kepintaran," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

Mengulas pembubaran SPAD, Dr Mahathir berkata tugas suruhanjaya itu akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengenai rasional pemansuhan MPN dan JKKKP pula, beliau berkata kedua-dua institusi itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan. Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu," katanya.

"Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran. Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk  menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu," katanya.

Ditanya mengenai projek seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuhraya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata: "Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang."

Dr Mahathir berkata langkah memansuhkan institusi dan mengkaji semula projek-projek terbabit dibuat sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan melibatkan nilai berbilion ringgit.

"Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

"Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja," katanya. - BERNAMA

Advertisement