Anda di sini

3 Julai dengar hujah lisan akhir kes bela diri Fitri

Advertisement
 Majen (memakai kot) menerangkan kepada ahli keluarga Bill tentang perjalanan kes itu di luar mahkamah semalam.
TANGGUH: Majen (memakai kot) menerangkan kepada ahli keluarga Bill tentang perjalanan kes itu di luar mahkamah semalam.

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 3 Julai depan untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan Mohamad Fitri Pauzi yang dituduh membunuh aktivis sosial, Bill Kayong.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Ravinthran N.Paramaguru di akhir kes pembelaan dalam kes bela diri Fitri yang merupakan tertuduh pertama dalam kes pembunuhan tersebut.

Terdahulu, mahkamah turut mendengar keterangan daripada seorang ahli kimia, Farah Ad-Din Nordin yang merupakan saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan kes bunuh Bill Kayong.

Farah, 31, seorang pakar sisa tembakan dari Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Petaling Jaya telah dipanggil semula untuk diperiksa balas oleh peguambela Ranbir Singh yang mewakili tertuduh.

Ketika diperiksa balas oleh Ranbir, Farah bersetuju dengan kenyataan peguambela terbabit bahawa semua proses analisis barang kes telah dilakukan oleh Mohd Firdaus Ramli dan beliau hanya mentafsirkan keputusan analisis tersebut.

Sementara itu, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Latif kenapa beliau bersetuju dengan kenyataan tersebut, Farah menjelaskan bahawa semasa proses analisis dilakukan, Mohd Firdaus yang mengendalikan peralatan yang digunakan untuk membuat analisis tersebut.

Katanya, semasa analisis dilakukan, Mohd Firdaus yang bertugas mengendalikan peralatan untuk melakukan analisis pada hari itu, manakala dia berada di makmal.

Kepada satu soalan lain, sekiranya Mohd Firdaus yang melakukan analisis kenapa pula beliau perlu membuat tafsiran keputusan, Farah menjawab kerana kes (barang kes) itu merupakan kes yang dikendalikannya.

Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasar Raya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

Hadir sama di mahkamah peguambela Orlando Chua dan Arthur Lee bagi pihak pembelaan dan Majen Panyog selaku peguam pemerhati bagi pihak keluarga Bill.

  • oleh
  • Advertisement