Anda di sini

Siasat individu lengah proses kiraan undi, tandatangan Borang 14

Advertisement

KOTA KINABALU: Petubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Islam Sabah (Paksi) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa individu yang bertindak melengahkan proses pengiraan undi sewaktu pilhan raya umum (PRU) lalu.

Setiausaha Agung Paksi Ridzal Abdullah ketika ditemui berkata, terdapat dakwaan berhubung tindakan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sengaja melambatkan proses kiraan undi termasuk melengahkan urusan Borang 14.

Beliau menyifatkan proses demokrasi di negara ini sedikit tercalar dengan tindakan beberapa individu sewaktu PRU14 lepas.

RIDZAL (kiri) menunjukkan draf laporan yang dikemukakan kepada SPRM.
RIDZAL (kiri) menunjukkan draf laporan yang dikemukakan kepada SPRM.

"Saya minta pihak SPRM buka kertas siasatan dan lihat perkara ini dengan lebih mendalam kerana sengaja melambatkan tandatangan pada Borang 14 serta soal mereka mengapa berbuat demikian.

"Jika mereka bertindak atas arahan, maka arahan itu datang dari mana dan siapa," katanya sambil menegur pihak terlibat untuk tidak bermain 'kotor', ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Menurut Ridzal, tindakan itu bukan sahaja mengganggu proses pilihan raya yang bersih malah mencemarkan imej SPR sebagai badan yang mengawal selia proses kiraan undi berkenaan.

"Rakyat bukan bodoh, pelbagai taktik diguna seperti memutuskan bekalan elektrik, melengahkan kiraan undi dan tandatangan Borang 14.

"Kami harap pihak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan kerana ia telah mencalarkan kepercayaan rakyat kepada proses demokrasi negara," katanya.

  • oleh
  • Advertisement