Anda di sini

Masalah air diatasi

Advertisement
 Abang Johari mengadakan lawatan kerja  meninjau dan mengatasi krisis air di kawasan Kabong semalam.
TINDAKAN SEGERA: Abang Johari mengadakan lawatan kerja meninjau dan mengatasi krisis air di kawasan Kabong semalam.

KABONG: Tiga kontraktor dilantik untuk mengatasi masalah air di kawasan Kabong, Nyabor dan sekitarnya melibatkan sekitar 5,000 orang penduduk.
Keputusan tersebut dipersetujui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam lawatan kerja ke kawasan terbabit di sini semalam.
Abang Johari berkata, projek membaik pulih dan menaik taraf kemudahan bekalan air di kawasan ini dijadualkan siap dalam tempoh sebulan.
"Sebelum ini, hanya satu kontraktor terlibat projek ini dan memandangkan situasi dihadapi penduduk dalam keadaan kritikal dan memerlukan usaha penyelesaian segera, kita bertindak menambah dua lagi kontraktor untuk mempercepatkan usaha ini.
"Sejumlah RM6.5 juta peruntukan diluluskan untuk melaksanakan projek ini sebagai tambahan peruntukan RM60 juta diluluskan bagi projek jangka panjang," katanya semasa mengadakan lawatan mengejut ke Loji Rawatan Air Kabong di sini semalam. 
Lawatan itu diadakan berikutan krisis air melanda penduduk di kawasan terbabit tersebar dan viral di laman sosial beberapa hari lalu.
Krisis air membelenggu penduduk di kawasan Kampung Hulu Laut, Hulu Tengah, Masjid Lama, Sungai Endot, Kampung Lintang, Sungai Benang, Hilir Laut dan Gerigat.
Krisis bekalan air Kabong dipercayai berpunca daripada masalah tekanan air rendah dari loji rawatan air utama Lichok, Roban dan diburukkan lagi dengan insiden saluran paip utama pecah di Simpang Roban.
Difahamkan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang melaksanakan kerja membaik pulih batang paip itu pada 9 Mei lalu namun keadaannya belum stabil untuk beroperasi sepenuhnya. 
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah itu, JBALB juga terus menghantar bekalan air bersih kepada isi rumah terjejas sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir.

  • oleh
  • Advertisement