
TURUN PADANG...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu Datuk Limus Jury turun padang meninjau masalah air yang membelenggu daerah Kuala Penyu dan Menumbok sejak lebih seminggu lalu.
Pada Isnin, beliau melawat ke Loji Rawatan Air Limbawang yang membekalkan air ke daerah Kuala Penyu."Demi tanggungjawab terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat Kuala Penyu, saya rela melakukan apa saja bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka," katanya ketika ditemui selepas tinjauan itu.
Dalam lawatan itu, beliau telah meminta dan mendesak kontraktor yang dilantik agar menyegerakan kerja penyelenggaraan bagi memastikan bekalan air pulih dengan kadar segera.
"Saya juga bersedia untuk menggunakan wang sendiri bagi membayar mereka sekiranya ada keperluan dalam kerja mereka."Saya berharap para penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok dapat bersabar. Saya akan pastikan masalah air di kawasan ini menemui penyelesaiannya," katanya.