Anda di sini

Kementerian baharu fokus kerajaan negeri

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian baharu yang diwujudkan dalam Kabinet negeri antara fokus yang diutamakan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan melihat beberapa bidang yang boleh diketengahkan dalam Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Menurutnya, selaras dengan langkah itu, beberapa pertukaran struktur juga perlu dibuat bagi melihat kapasiti perkhidmatan kementerian berkenaan.

SHAFIE Apdal
SHAFIE Apdal

"Saya juga akan mengumumkan beberapa perkara sepertimana yang kita janjikan dalam tempoh 100 hari memegang pentadbiran kerajaan negeri.

"Menerusi pertemuan dengan ketua-ketua jabatan di peringkat negeri, saya turut menjelaskan tentang hala tuju pentadbiran baharu.

"Ia perlu selaras dengan apa yang kita nyatakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bukan sahaja kerjasama di antara perkhidmatan awam, pihak swasta dan juga pembuat dasar yang diperlukan.

Namun jelasnya, dalam usaha untuk membantu rakyat, kerajaan perlu faham dan sedar rakyat adalah pelanggan.

Menurutnya, kerajaan hendaklah berkhidmat untuk rakyat dalam memastikan apa yang rakyat kehendaki dapat diselaraskan sebaik mungkin.

"Saya yakin kalau kerjasama di semua peringkat dapat ditingkatkan dan semua memahami dasar-dasar yang diperkenalkan, kita akan mempunyai sistem penyampaian yang mencukupi.

"Kita juga boleh meletakkan pencapaian perkhidmatan di peringkat negeri Sabah ke tahap yang memuaskan," katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin terhadap pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Sabah, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Shafie berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya susulan daripada laporan polis berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement