Anda di sini

Kematian pelancong China tidak ada unsur jenayah

Advertisement

SEMPORNA: Polis mengesahkan tidak ada unsur jenayah dalam kes kematian seorang pelancong warga China yang dilaporkan lemas semasa menyertai aktiviti snorkeling.

Pengesahan itu diberikan susulan laporan polis yang diterima pada jam 6.32 petang Isnin berhubung kejadian yang berlaku di laut Pulau Sibuan di sini, kira-kira jam 1 petang.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata mangsa dikenali sebagai Li Jing, lelaki, 29, berasal dari Beijing China.

 

“Pengadu (pemandu pelancong) bersama-sama mangsa dan rombongan bertolak kira-kira jam 9 pagi untuk pergi ke Bohey Dulang, Mentabuan dan Sibuan pada hari kejadian.

“Kira-kira jam 1.10 petang, rombongan itu tiba di Sibuan sebelum mereka memulakan aktiviti mandi di laut dan snorkeling kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, pengadu dikatakan tidak melihat mangsa selepas kira-kira 20 minit mandi bersama, sebelum ada orang dilihat terjun dari bot ke laut untuk menyelamatkan mangsa.

“Selepas mangsa dinaikkan ke bot, dua pelancong tempatan memberikan pertolongan cemas kepada mangsa ketika bot terbabit bergerak ke Hospital Semporna,” katanya.

Peter berkata doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa kemudiannya mengesahkan bahawa pelancong dari tanah besar China itu sudah meninggal dunia.

Katanya mayat pelancong itu masih berada di hospital dan bedah siasat belum lagi dijalankan sementara menunggu ketibaan ahli keluarga mangsa.

  • oleh
  • Advertisement