Anda di sini

APMM gagalkan cubaan seludup

Advertisement

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menyita 1,088 karton rokok seludup termasuk bot dan enjin, dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Rokok yang dirampas, Premium Gold (450 karton), Menara Dunia (220 karton), LA Lights (190), LA Menthol Lights (160), LA Bold (50) dan Gudang Garam (16).

Rampasan itu diperolehi susulan kejayaan APMM Tawau menahan sebuah bot laju yang dipercayai hendak menyeludup rokok dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini.

ROMLI (tengah) dan pegawai-pegawainya menunjukkan kepada media rokok-rokok seludup yang berjaya dirampas APMM Tawau.
ROMLI (tengah) dan pegawai-pegawainya menunjukkan kepada media rokok-rokok seludup yang berjaya dirampas APMM Tawau.

Ketua Maritim Zon Tawau Kepten (M) Romli Mustafa berkata kehadiran bot laju terbabit berjaya dikesan semasa di perairan Kg Titingan, kira-kira jam 11.12 malam pada Isnin.

“Bot ronda kita yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu mengesan sebuah bot laju mencurigakan kerana tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya pada sidang medianya, di sini pada Selasa.

Beliau berkata bot laju itu dipercayai memuatkan bekalan rokok seludup dari Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, wilayah negara jiran.

Menurutnya, APMM Tawau cuba mengejar tekong dan awak-awak yang menaiki bot laju berkenaan selama lima minit sebelum berjaya memintas dan menahan bot terbabit.

Namun, kedua-dua suspek terjun ke laut berhampiran perkampungan air, sekaligus usaha APMM mengesan dan menangkap mereka menghadapi kesukaran akibat cuaca gelap.

“Siasatan kes akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya, sambil mengesahkan kesemua barang rampasan dibawa ke Pangkalan APMM Tawau.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan walaupun pada bulan Ramadan untuk memastikan aktiviti perlanggaran undang-undang dapat dibanteras.

  • oleh
  • Advertisement