Anda di sini

Anggota polis subahat dalam kes tembak maut terselamat dari tali gantung

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Seorang inspektor polis berusia 51 tahun yang digantung tugas  terselamat dari tali gantung hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitannya dari tuduhan bersubahat dalam kes menembak mati seorang tukang emas di Ipoh, Perak sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif membebas dan melepaskan Mohd Taufik Peter Abdullah selepas membenarkan rayuannya bagi mengetepikan hukuman mati dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah melakukan  jenayah tersebut.

"Kami sebulat suara bersetuju dengan hujah bahawa pihak pendakwa telah gagal membuktikan bahawa perayu (Taufik) berada di tempat kejadian jenayah oleh itu tuduhan  terhadapnya tidak dapat dibuktikan,” kata Raus.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Taufik yang digantung dari tugas di jabatan narkotik polis negeri Perak pada mulanya menghadapi tuduhan membunuh tetapi pada akhir kes pendakwaan, ia dipinda kepada tuduhan di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.   

Pada 25 Mac, 2016, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman mati ke atas Taufik selepas  mensabitkannya dalam tuduhan membenarkan pistolnya digunakan oleh S. Nagendran bila mereka merompak kedai Max Goldsmith & Jewellery di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh, Perak, antara 3.30 petang hingga 5.10 petang pada 16 Sept, 2009.

Tuan punya kedai,  Chen Fun Kee, ditembk mati oleh Nagendran menggunakan pistol milik Taufik.  Nagendran mati pada Mac 2013.

Taufik gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak pada 19 Mei tahun lepas.

Dalam prosiding mahkamah  hari ini, peguam Taufik, Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah  bahawa anak guamnya tidak berada di tempat jenayah berlaku kerana pada  masa itu dia menziarahi bapa saudaranya yang sakit di Teluk  Intan, Perak.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan unsur dalam Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.    

Timbalan pendakwa raya Mohd Taufik Mohd Yusoff berkata berdasarkan kenyataan yang direkodkan, perayu tidak berada di tempat kejadian, tetapi katanya wujud bukti ikut keadaan. - BERNAMA

Advertisement