TAWAU: Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dilihat berlaku ketika hubungan dagang di Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) melalui fasa mencabar, kesan daripada isu keselamatan.
Justeru, kerajaan baharu di bawah pentadbiran Tun Mahathir diharap tidak terlepas pandang dan dapat mencari solusi terbaik untuk merancakkan hubungan dagang BIMP-EAGA.
Presiden Sabah BIMP-EAGA Traders Association (BETA) Ahdie Dodds percaya BIMP-EAGA berpotensi dikembangkan jika isu keselamatan yang menjadi faktor penentu kemajuannya dapat ditangani dengan lebih baik.

“Kita harap Tun Mahathir selaku pencetus BIMP-EAGA bersama mantan Presiden Filipina Fidel Ramos pada 1994, tidak akan terlepas pandang ke atas senario semasa yang dihadapi BIMP-EAGA.
“Sebelum perintah berkurung diperkenalkan, hubungan dagang antara Sabah dan Filipina Selatan dapat dijalankan menerusi konsep barter-trade, sebelum ditutup lebih setahun.
“Apabila hubungan dagang Sabah-Filipina Selatan dibuka semula, perubahan polisi baharu yang 'kurang mesra dagang' diperkenalkan, malah barter-trade terus ditutup,” katanya.
Ahdie berkata pemain industri juga terpaksa akur dengan undang-undang antarabangsa yang disifatkan tidak sesuai dengan sistem dagang yang dipraktikkan di BIMP-EAGA.
Berikutan itu, wilayah-wilayah di BIMP-EAGA masih mundur dan terkebelakang jika dibandingkan dengan wilayah pesat membangun seperti Kuala Lumpur, Manila dan Jakarta.
Beliau berkata pihaknya juga sudah memberikan usul Zon Pembangunan Ekonomi 3T meliputi Tawau (Sabah), Tarakan (Kaliman Utara) dan Tawi-Tawi (Filipina Selatan).
“Kita melihat potensi 3T sebagai pintu masuk ke pasaran yang lebih besar di wilayah negara berjiran samada hubungan dagang konvensional ataupun sebaliknya,” katanya.