
TAWAU: Selaras usaha mempromosikan tarian moden, Syarikat Media Desa telah memberi sokongan bagi tahun ketiga berturut-turut menjayakan penganjuran tarian berkenaan di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Media Desa, Koh Kian Leong, berkata pihaknya menyokong usaha berkenaan kerana ia menjadi platform komunikasi serta mengeratkan hubungan serta perpaduan dalam kalangan peserta menerusi aktiviti sihat.
"Tarian Line Dance Modern yang menyerupai senamrobik itu adalah senaman aerobik yang semakin popular di kalangan rakyat masakini," katanya pada perasmian majlis tarian bertema `Pretty In Pink' anjuran D'Line Dancerz di sini hari ini.
Pada majlis itu, penganjur mengundang dua gadis penari terkenal berasal dari Line Dance Queen Korea, iaitu Dong Sook Kim dan Jung Hye Yoon selain koreografer dari Semenanjung Malaysia, Stephine Lim dan Ivy Tang .
Turut menjayakan majlis gilang-gemilang itu adalah penari-penari terkenal seperti Jaszmin Tan, Penny Tan, Adeline Chong dan Flora Lau.
Sementara itu, jurulatih utama dan pemilik D'Line Dancerz, Lilen Liew berkata pihaknya mengadakan kelas tarian di tiga lokasi di sini, iaitu di ersatuan Bola Keranjang Tawau pada setiap Isnin dan Rabu, di Dewan Gereja Basel pada Selasa dan Khamis, serta di Kantin Dewan SJKC Hing Hwa pada Selasa dan Khamis.