Anda di sini

Pengorbanan sentiasa dihargai

Advertisement
 Fatimah (tengah) turut serta dalam pembungkusan kuih raya di DUN Lama semalam untuk diagihkan kepada 8,000 anggota keselamatan dan penguatkuasaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
KERJASAMA: Fatimah (tengah) turut serta dalam pembungkusan kuih raya di DUN Lama semalam untuk diagihkan kepada 8,000 anggota keselamatan dan penguatkuasaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Program Sumbangsih Kuih Raya diteruskan tahun ini dengan 8,000 bungkusan kuih raya bakal diagihkan kepada anggota keselamatan dan penguatkuasaan di negeri ini yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program ini merupakan program tahunan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program ini katanya, telah bermula pada 1990 di mana pada masa itu ia hanya melibatkan dua agensi penerima iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 2,000 bungkusan kuih raya diagihkan.

“Tahun ini melibatkan jumlah penerima terbesar dengan 8,000 bungkusan kuih raya bakal kita agihkan kepada 10 agensi penerima bermula pada 23 Mei ini yang akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembungkusan Sumbangsih Kuih Raya 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini semalam.

Proses penyediaan 8,000 bungkusan kuih raya menelan kos RM200,000.

Semua 8,000 bungkusan kuih raya ini akan diagihkan kepada 10 agensi penerima iaitu ATM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Jabatan Penjara Negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Turut menerima sumbangan kuih raya ini ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Kontingensi.

Setiap bungkusan kuih raya ini mengandungi tujuh jenis kuih iaitu kek hati pari (parek), kek buah, serunding daging, biskut bawang, bahulu, maruku dan nasi himpit.

“Sumbangsih kuih raya ini merupakan satu cara untuk kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang terpaksa bertugas pada hari tersebut demi menjaga keselamatan dan keamanan negeri kita.

“Pada masa yang sama, program ini juga diharap dapat menerapkan nilai-nilai berterima kasih kepada generasi muda masa kini terhadap mereka yang menjaga keselamatan kita,” katanya.

Dalam pada itu aktiviti pembungkusan kuih raya itu semalam melibatkan seramai 250 sukarelawan di bawah JWKS dan turut dibantu anggota ATM, PDRM dan sebagainya.

  • oleh
  • Advertisement