Anda di sini

Menunggu kata putus presiden

Advertisement
 Ian memberi arahan kepada Nicolas (kiri) semasa sesi latihan.
PENUH PERHATIAN: Ian memberi arahan kepada Nicolas (kiri) semasa sesi latihan.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dijangka akan memuktamadkan nasib pemain tengah, Nebojse Marinkovic dan pemain baharu, Nicolas Alejandro Dul pada minggu hadapan.

Setiausaha Agung FAS, Jefry Lana berkata pihaknya masih menunggu kata putus daripada Presiden FAS, Datuk Posa Majais sama ada bersetuju dengan tuntutan pampasan Nebojse termasuk gaji yang dipohon Nicolas.

Menurutnya, jika Posa bersetuju dengan tuntutan pampasan Nebojse ia akan membuka laluan kepada FAS untuk mengambil Nicolas yang merupakan bekas pemain tengah Kuala Lumpur sebagai pengganti.

“FAS masih belum dapat menandatangani Nicolas kerana proses pelepasan Nebojse masih belum selesai.

“Selain itu, kita juga perlu mendapatkan persetujuan daripada Posa mengenai tuntutan pampasan Nebojse termasuk gaji yang diminta Nicolas,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Posa ketika ini sedang mengerjakan ibadah umrah dan akan pulang ke tanah air pada minggu hadapan.

Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan sebelum ini memberitahu Nicolas telah melepasi saringan kecergasan dan hanya menunggu lampu hijau FAS untuk mengambilnya sebagai pemain Sarawak bagi menggantikan Nebojse yang gagal menyinar.

Pemain itu mula menjalani ujian bersama Sarawak sejak 4 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, FAS telah melengkapkan pengambilan penyerang muda berusia 18 tahun, Gibson Billy.

Menurut Jefry, pemain itu akan membuat kemunculan pertamanya bersama Sarawak pada perlawanan Liga Premier menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 22 Mei ini.

Ian menyifatkan Gibson sebagai pemain muda Sarawak yang berpotensi untuk mara lebih jauh kerana memiliki ciri-ciri penyerang berkualiti.

Perlawanan Sarawak menentang JDT II asalnya berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 22 Mei ini terpaksa dipindahkan ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang berikutan lampu limpah di Stadium Negeri, Petra Jaya tidak cukup terang kerana masih rosak.

  • oleh
  • Advertisement